Piala EFL: Manchester United kalah kepada pasukan terbaik EPL -- Solskjaer 

Oleh Shaiful Shamsudin 7 Januari 2021 1886
Piala EFL: Manchester United kalah kepada pasukan terbaik EPL -- Solskjaer 
Ole Gunnar Solskjaer menganggap kegagalan Manchester United dalam separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL) mungkin dibayangi oleh pasukan terbaik di England dan bukannya masalah psikologi selepas disingkirkan Manchester City.

John Stones menjaringkan gol pertama buat The Citizens sejak November 2017 pada awal babak kedua dan Fernandinho melengkapkan kemenangan 2-0 itu tujuh minit menuju wisel penamat di Old Trafford, awal pagi tadi.

The Red Devils hanya mampu melepaskan dua percubaan tepat ketika mereka terkandas buat kali keempat di peringkat itu sejak Solskjaer mengambil alih jawatan sebagai pengurus.

City yang melanjutkan rentak tanpa kalah mereka kepada 12 perlawanan akan membuat perhitungan dengan Tottenham di Wembley pada 25 April depan dan anak buah Pep Guardiola itu dilabel sebagai pilihan untuk menjulang trofi berkenaan buat kali keenam dalam tempoh lapan musim.

Solskjaer kecewa dengan cara United melepaskan gol sambil menyanjung seteru mereka itu.

 

"Manchester City mampu menjaringkan banyak gol hebat. Anda perlu sedar. Apabila anda melepaskan dua gol sederhana, itu sangat mengecewakan. Cukup tidak  baik pada saat-saat itu," katanya kepada Sky Sports.

"Kami tidak menciptakan peluang terbuka. Mereka juga begitu. Kami tidak memiliki keupayaan tambahan sebagaimana yang kami tonjolkan dalam perlawanan akhir-akhir ini, kami tidak cukup bagus.

"Kami bermain menentang pasukan Manchester City yang sangat bagus, mereka beraksi dengan baik. Apabila mereka bermain dengan baik, anda anda harus beraksi dengan sangat baik untuk mengalahkan mereka. Kami hanya kekurangan sedikit kualiti."

Namun, Solskjaer tidak perlu terlalu bersandarkan rekodnya yang acap gagal di peringkat serupa. 

"Kami semakin hampir. Ini adalah versi United yang jauh lebih baik daripada aksi separuh akhir musim lalu," tambahnya.

"Ini bukan soal psikologi (kalah dalam satu lagi separuh akhir). Kadang-kadang anda bertemu pasukan yang bagus dalam separuh akhir. Pada masa ini, City mungkin pasukan terbaik di England."


 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen