Manchester City mahu kembali ke landasan sebenar ketika menentang Manchester United yang berbekalkan status mereka sebagai pasukan utama dalam saingan elit selama beberapa dekad lalu untuk menjadi sumber kebanggaan buat Pep Guardiola menghadapi separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL), awal pagi esok.

City tidak pernah menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di bawah seteru jiran tersebut apabila memenangi tiga gelaran sejak kejayaan terakhir United pada 2012-13.

Dua daripadanya terhasil di bawah kendalian Guardiola, The Red Devils sempat menduduki tempat kedua pada 2017-18 yang menyaksikan The Citizens mencipta rekod baru dengan pungutan 100 mata.

Kedua-dua pasukan itu juga bertembung di peringkat sama musim lalu untuk City meraih kejayaan ketiga berturut-turut di Wembley, namun mula ada tanda-tanda bahawa senario tersebut semakin terhakis.

"United tetap sebuah kelab besar," kata Guardiola.

"Ketika saya menghadapi mereka bersama Barcelona, ​​Bayern Munich dan di sini, ia selalunya getir.

"Ini adalah perseteruan di antara kelab kota ini dan selama beberapa dekad, United sering mendahului Manchester City. Kami sangat bangga mengenainya dan ia merupakan suatu penghormatan bagi pasukan dekad yang lalu yang berjuang hebat -- kadang-kadang menang, adakalanya tewas."




Kemenangan 3-1 dalam aksi separuh akhir pertama musim lalu merupakan satu-satunya hasil positif City dalam lima 'derby Manchester' terakhir.

United bangkit 1-0 dalam perlawanan timbal balik di Stadium Etihad itu untuk mencetuskan rasa gentar lawan menerusi jaringan Nemanja Matic tetapi tetap tersingkir, sementara dua lagi kejayaan dirakam dalam kancah liga musim lalu.

Kedua-dua pasukan itu memperagakan aksi sengit dalam pertemuan terakhir mereka ketika seri 0-0 di Old Trafford bulan lalu untuk United melonjak ke kedudukan kedua di puncak di belakang juara bertahan, Liverpool, yang akan menentang Burnley minggu depan.

"Mereka sering menjadi pencabar utama," katanya.

"Saban tahun apabila kami memulakan musim, United adalah pesaing utama.

"Jika ia tidak berlaku dalam beberapa musim terakhir, itu adalah satu persoalan buat mereka. Tidak bezanya United dengan pesaing yang lain."

City mempamerkan prestasi memberangsangkan ketika membenam Chelsea 3-1 hujung minggu lalu -- satu persembahan yang mengagumkan di sebalik kem mereka dilanda penularan COVID-19.

Kyle Walker dan Gabriel Jesus selesai menjalani kuarantin selama 10 hari tetapi Ederson, Ferran Torres, Eric Garcia dan Tommy Doyle terlepas rombongan ke Old Trafford untuk pertemuan tunggal -- EFL mengubah format perlawanan timbal balik bagi meringankan jadual padat.

"Kami kehilangan ramai pemain. Untuk satu atau dua perlawanan tidak mengapa tetapi jika ini berterusan maka saya hanya dapat menggunakan 14 atau 15 pemain, ia akan menjadi lebih sukar, "jelas pengurus berbangsa Sepanyol itu lagi.

Sementara itu, City menerima khabar duka apabila legenda kelab, Colin Bell, meninggal dunia pada usia 74 tahun malam tadi.