Piala EFL: Hatrik Havertz julang Chelsea atasi Barnsley

Oleh Shaiful Shamsudin 24 September 2020 626
Piala EFL: Hatrik Havertz julang Chelsea atasi Barnsley
CHELSEA 6 BARNSLEY 0 

Pengurus Chelsea, Frank Lampard, berikrar bahawa hatrik yang dilakar Kai Havertz ke atas Barnsley merupakan yang pertama dan lebih banyak lagi aksi gemilang pemain baru itu bakal menyusul.


Havertz memperagakan persembahan hambar dalam dua penampilan awal Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum tampil dengan hatrik ketika membelasah Barnsley 6-0 dalam Piala Liga Inggeris (EFL) di Stamford Bridge, awal pagi tadi. 

Bintang antarabangsa Jerman itu juga memainkan peranan penting dalam jaringan selebihnya untuk anak buah Lampard berkenaan tidak perlu memerah keringat ketika berdepan aksi pertengahan minggu tersebut. 

Lampard acap kali menuntut semua pihak agar memberi ruang buat pemain berusia 21 tahun itu, justeru percaya aksi berbisa sedemikian akan semakin kerap ditonjolkannya. 

"Saya gembira dengan Kai dan dia memenuhi apa yang saya tuntut daripadanya sepanjang malam ini," kata bekas tonggak tengah The Blues itu dalam sidang akhbar.

"Ini adalah satu bentuk latihan yang bagus untuknya. Dalam perlawanan yang lain, saya ingin melihat gerakannya tanpa bola, dalam masa sama dia juga akan memiliki kebebasan untuk mengawal bola dan perlu membentuk kombinasi seperti itu. 

"Ini adalah malam hebat pertama yang dijelmakannya."
 
Tammy Abraham, yang bergandingan di samping Havertz di jentera serangan, membuka tirai jaringan perlawanan sementara Ross Barkley dan Olivier Giroud turut mencetak nama selaku penjaring. 

Di bahagian pertahanan, Lampard buat pertama kalinya menurunkan bekas ketua pasukan Paris Saint-Germain (PSG), Thiago Silva, manakala Ben Chilwell diberi peluang selepas ditukarkan dengan Havertz di pertengahan babak kedua.

"Ini satu situasi menarik bagi kami," katanya mengenai penampilan sulung Silva yang berlangsung lebih dari sejam.

"Dia baru seminggu berlatih dengan kami. Tetapi dia telah memberikan sesuatu kepada kami apabila selesa memimpin. Pada ketika ini, halangan daripada segi bahasa bukan isu utama."

Antonio Rudiger dan Ruben Loftus-Cheek disisihkan daripada skuad Chelsea, sehubungan itu Lampard mengakui duo berkenaan mungkin akan berpindah sebelum jendela perpindahan ditutup jika Chelsea berasakan ia langkah yang sesuai. 

"Mereka tidak berada dalam skuad malam ini kerana saya mempunyai banyak pilihan," tambahnya. 

"Mungkin ada pemain yang akan keluar tetapi jangan terlalu terpengaruh dengan khabar angin hanya kerana mereka tidak tersenarai dalam skuad kali ini. Ia demi kebaikan pasukan mahupun kelab."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen