Pep Guardiola mendedahkan tidak banyak yang boleh ditawarkannya untuk meningkatkan sentuhan Kevin De Bruyne kerana dia merupakan seorang pemain berbakat yang unik apabila gemar mencabar diri sendiri untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.

De Bruyne menjadi permata buat Manchester City sejak Guardiola menyandang jawatan pengurus di Stadium Etihad pada 2016-17.

Perancang Belgium itu sekali lagi membuktikan kepentingannya bersama The Citizens menerusi persembahan menakjubkan dalam Liga Juara-Juara (UCL) di Real Madrid pada pertengahan minggu ini untuk membawa bekalan 2-1 menjelang pertemuan kedua pusingan 16 kelak.
Setelah mencipta peluang untuk jaringan pertama, pemain tengah itu kemudian tampil menyudahkan sepakan penalti, apatah lagi City gagal menyempurnakan empat sepakan penalti sebelum ini.

Pujian harus diberikan kepada De Bruyne, seorang pemain yang Guardiola anggap tidak memerlukan banyak panduan kerana dia memahami tanggungjawabnya.

"Sejujurnya, dengan pemain seperti ini atau kebanyakan pemain yang saya katakan, cabaran itu datang daripada mereka sendiri," katanya menjelang final Piala EFL bertemu Aston Villa, tengah malam ini.


"Jika anda perlu merangsang mereka untuk mencapai sesuatu yang istimewa maka mereka bukanlah pemain handalan. Saya tidak suka pemain yang gemar mengeluh.

"Sebagai seorang pemain, mereka mencapai sesuatu atas apa yang telah dilakukannya, ia bergantung kepada diri sendiri. Saya tidak percaya perlu berusaha keras untuk membantu mereka menjadi pemain yang lebih baik.

"Pemain tahu latihan atau kemahiran apakah demi perbaiki keupayaan mereka. Ia harus terbit daripada diri sendiri. Peningkatan prestasi harus datang dari hati, bukan kerana pengurus atau kerana seseorang harus memberitahu mereka.

"Pemain hebat tidak pernah merungut tentang kelab, organisasi, pengurus. Mereka tahu realitinya, mereka akan menghadapi kesulitan dan menghadapi dengan cara, 'baiklah kami akan mengatasinya, kami akan menjadi lebih baik pada setiap hari dan melakukannya'.

"Tetapi kebanyakan pemain, mereka kekal di kedudukan selesa dan selepas bertukar kelab dan tidak dapat kekal di kelab besar, sepanjang masa mereka akan mencipta alasan.

"Pemain hebat sentiasa menjaga dirinya sendiri, itulah cara terbaik tetapi malangnya, ia tidak cukup bagus untuk kami meraih 100 mata dan untuknya diangkat sebagai pemain terbaik liga. Mungkin pada masa depan ia akan berlaku."

Satu-satunya peringatan yang diberikan Guardiola kepada De Bruyne adalah sentiasa membuatkan permainan menjadi mudah.

"Tidak perlu mengatakan apa-apa tentang Kevin, hanya lihat sahaja bagaimana dia beraksi," tambahnya.

"Pada akhirnya, seorang pemain beraksi untuk dirinya sendiri dan pengurus melalui pasukan. Prestasi, kesinambungan, pengaruhnya di kawasan lawan begitu tenang dan positif.

"Apabila saya berkata, 'Kevin, apa yang anda rasakan sebelum anda mengambil sepakan penalti terhadap Real Madrid itu?' lalu dia berkata, 'saya akan menjaringkan gol'. Dia tidak berasa begitu tekanan, dia suka terlibat dalam perlawanan yang besar. Dia adalah seorang pemain yang luar biasa."