Piala EFL: Arsenal layani kunjungan Manchester City dalam suku akhir

Oleh Muzaffar Musa 2 Oktober 2020 493
Piala EFL: Arsenal layani kunjungan Manchester City dalam suku akhir
Mikel Arteta akan berdepan bekas mentornya, Pep Guardiola, selepas Arsenal diundi untuk menentang Manchester City dalam suku akhir Piala EFL.

Pengurus Arsenal, Arteta, menghabiskan tiga musim sebagai penolong jurulatih kepada Guardiola di City sebelum meninggalkan portfolio itu Disember lalu.

Sejak itu, kedua-dua pasukan berkenaan pernah bertemu sebanyak dua kali dengan Arsenal melunaskan dendam kekalahan 0-3 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan memperoleh kemenangan 2-0 dalam separuh akhir Piala FA 2019-20.

Arsenal menewaskan Liverpool dalam penentuan sepakan penalti awal pagi tadi selepas perlawanan pusingan 16 itu berakhir tanpa jaringan dalam waktu sebenar manakala City menewaskan Burnley 3-0 untuk meneruskan pemburuan kejuaran kelima Piala EFL dalam tempoh enam tahun ini.
 
Sementara itu, Manchester United akan bertandang ke laman Everton dan Tottenham pula akan bertemu pasukan daripada Liga Kejuaraan, Stoke City, selepas menewaskan seteru London, Chelsea, dalam pusingan 16.

Brentford merupakan satu lagi wakil daripada liga divisyen kedua itu yang masih kekal bersaing dan akan menghadapi Newcastle United -- yang menewaskan Newport County menerusi sepakan penalti -- bagi merebut peluang ke separuh akhir.

Perlawanan suku akhir Piala EFL akan berjalan tanpa perlawanan timbal balik pada 21 Disember depan.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen