Mauricio Pochettino menganggap aksi Piala Dunia memberikannya cabaran besar dalam mengendalikan beberapa pemainnya di peringkat permulaan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Pemain skuad kebangsaan England seperti Harry Kane, Eric Dier dan Dele Alli merupakan antara nama yang diberikan cuti rehat selepas tamat saingan di Russia, menyebabkan mereka tidak terlibat dengan kempen pra-musim.

Pemenang Piala Dunia, Hugo Lloris, serta bek Belgium, Jan Vertonghen dan Toby Alderweireld, juga beraksi di Russia bulan lalu.

Skuad bimbingan Pochettino itu bakal memulakan saingan 2018/19 menentang Newcastle United pada Sabtu ini dan pengurus dari Argentina itu mengakui sukar untuk membariskan pemain terbaik.

"Buat pemain-pemain yang terlibat dengan Piala Dunia, ia satu cabaran dan sangat penting untuk memberikan mereka rehat yang cukup bagi memulihkan diri selepas melalui musim yang getir.

"Kini, ia menjadi cabaran buat kami untuk menyediakan kelengkapan terbaik secepat mungkin," kata Pochettino.

"Kami perlu membantu mereka. Segala-galanya akan diketahui pada Isnin, Selasa dan Rabu manakala Khamis dan Jumaat adalah tempoh untuk keputusan dibuat.

"Jika sesetengah pemain sudah sedia, sudah tentu kami akan menggunakan mereka tetapi kami tidak akan mengambil risiko hanya untuk satu perlawanan kerana kemungkinan anda akan kehilangannya selama sebulan atau dua bulan. Jadi, penting untuk menjadi bijak dalam setiap keputusan."

Pochettino sebelum ini mendedahkan dia akan memberikan pemain tengah berusia 21 tahun, Luke Amos, peluang untuk berada dalam kesebelasan utama pasuka apabila berdepan Newcastle.