Pep Guardiola memuji perwatakan yang dipamerkan Phil Foden buat Manchester City ketika mereka bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Cheltenham Town 3-1 dalam Piala FA awal pagi tadi tetapi menegaskan pemain itu tidak perlu menjadi pengganti Kevin De Bruyne.

Foden memainkan peranan penting ketika City mengelak daripada menerima kejutan terbesar dalam perlawanan pusingan keempat itu selepas Alfie May mememastikan pasukan dari divisyen empat, Cheltenham, memperoleh gol pembukaan.

Tetapi pemain kebangsaan England itu menyamakan kedudukan pada sembilan minit terakhir sebelum Gabriel Jesus dan Ferran Torres mengesahkan kemaraan City ke pusingan kelima.

City kelihatan bergelut sebaik May meletakkan Cheltenham di depan dengan skuad kendalian Guardiola itu banyak membazirkan peluang di depan gawang.

Foden melakukan lima hantaran penting tetapi tiada satu pun daripadanya menjadi bantuan jaringan gara-gara ketumpulan penyudah City.

Dengan De Bruyne terpaksa diketepikan sehingga enam minggu berikutan kecederaan paha, Guardiola ditanya dalam sidan mediia sama ada Foden dapat membantu mengisi kekosongan itu.

"Phil perlu menjadi Phil, Phil tidak perlu menjadi Kevin De Bruyne.

"Phil perlu melakukan apa yang dia sedang lakukan daripada segi momen buruk ketika kami ketinggalan, perwatakan yang diberikannya kepada permainan kami.

"Phil boleh bermain di tengah, dia boleh bermain di bahagian sayap, sebagai pemain nombor sembilan di depan. Dia bermain dengan amat baik dan sekali lagi dia menjaringkan gol pada waktu yang tepat," jawabnya.