Jurgen Klopp memberitahu pemain Liverpool agar beraedia untuk menghadapi cabaran getir babak kedua Liga Perdana Inggeris selepas kemenangan 1-0 ke atas Wolverhampton Wanderers membolehkan The Reds selesa dengan kelebihan 13 mata di puncak liga.

Jaringan daripada Sadio Mane membezakan kedua-dua pasukan itu tatkala jaringan penyamaan Pedro Neto dinafikan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) yang mencetuskan kontroversi akibat ofsaid.

The Reds kini telah mengharungi separuh musim dan berada di landasan terbaik untuk meraih kejuaraan liga pertama dalam tempoh 30 tahun tetapi Klopp berkata babak kedua saingan bakal memberikan cabaran getir.

“Kami sudah separuh jalan,” katanya.

“Kami masih mempunyai baki 19 perlawanan dan mungkin kesemuanya akan mencabar seperti hari ini atas sebab berbeza.

“Kami akan berdepan pasukan yang berjuang untuk segalanya dalam liga, kemudian berusaha untuk slot Eropah yang kini kembali terbuka, jadi kami perlu bersedia.

“Siapa kisah tentang mata dalam bulan Disember? Kami telah mencipta rutin yang perlu kami usahakan, itu sahaja.”

Klopp menegaskan kepentingan kekuatan pasukan selepas melihat anak buahnya mencatat kemenangan ke-17 berturut-turut di laman sendiri dan melanjutkan rekod tanpa kalah di pentas domestik di Anfield kepada 50 perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan Liverpool menang lapan daripada sembilan perlawanan dalam bulan Disember dan Klopp memuji kehadiran Naby Keita dari bangku simpanan dalam babak kedua ketika berdepan Wolves.

"Keita dan Milner memberi bantuan serta-merta, anda boleh melihatnya," tambah pengendali itu.

"Ya Tuhan, Adam Lallana dan Georginio Wijnaldum, apa yang mereka tampilkan sangat hebat tetapi pemain baru yang masuk memberi bantuan.

"Kemudian, mereka mencetuskan masalah tetapi tidak menyudahkannya. Ia bukan perlawanan dengan dua atau tiga gol buat kami, jadi kami harus berjuang sehingga akhirnya. Seperti saya katakan, tiada masalah."


Editor: Nafis Abdullah