Claudio Ranieri berkata kemenangan 3-1 Leicester City ke atas Crystal Palace adalah persembahan terbaik The Foxes musim ini.

Pengendali kelahiran Itali itu memberikan kata-kata semangat musim lalu dengan menjanjikan pizza jika berjaya tidak dibolosi, kali ini Ranieri menjanjikan kek hari lahir kepada pemain-pemain sebagai insentif.

"Saya sangat gembira. 20 minit pertama kami tidak bermain dengan begitu baik tetapi selepas menemui rentak, kami memberikan tekanan, melancarkan serangan dengan kelajuan yang kami miliki. Kami berhak memenangi perlawanan ini.

"Kami mempamerkan aksi yang mantap selepas 20 minit pertama itu. Ia persembahan terbaik kami musim ini."

Jamie Vardy berada di bangku simpanan kerana gagal mencetak sebarang jaringan sejak 10 September tetapi Ranieri menjelaskan keputusan beliau mengetepikan Vardy adalah untuk memberikan peluang kepada pemain lain untuk beraksi.

"Vardy tidak berada di tahap yang terbaik. Bertemu Chelsea, saya menurunkan Slimani dan Mahrez dan dalam perlawanan ini, saya memberikan peluang kepada pemain lain.

"Setiap pemain bersedia untuk merebut tempat beraksi di atas padang. Ahmed Musa kelihatan semakin dapat memahami gaya permainan dalam Liga Perdana Inggeris."