David de Gea berasakan seperti "kebal" ketika membantu Manchester United menang 3-1 ke atas Arsenal, kelmarin.

Skuad kendalian Jose Mourinho itu mempamerkan gerakan serangan balas yang berkualiti, dengan dua gol daripada Jesse Lingard dan Antonio Valencia memastikan tiga mata berharga diraih di Stadium Emirates walaupun kehilangan Paul Pogba yang dilayangkan kad merah.

Jika dalam aksi yang lain, keputusan perlawanan mungkin memihak kepada Arsenal jika dilihat menerusi bilangan percubaan yang telah dihasilkan.

Sejumlah 33 percubaan dihasilkan Arsenal tetapi mereka perlu berdepan De Gea yang berada pada tahap terbaik selepas pemain kebangsaan Sepanyol itu menyamai rekod Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menyelamatkan 14 percubaan dalam satu perlawanan."Kadang-kala, anda memulakan perlawanan dengan menampan beberapa percubaan, ia akan menjadi pemangkin semangat, anda akan dapat berasakan seperti kebal.

"Tetapi United memulakan perlawanan ini dengan baik, kami menjaringkan dua gol penting, Arsenal mengawal bola sepanjang permainan, tetapi ia merupakan persembahan yang mantap," ujarnya.

De Gea berpendapat United bertahan dengan lebih baik selepas Pogba diarahkan keluar padang pada minit ke-74.

"Kami bertahan dengan lebih baik selepas Pogba keluar padang.

"Saya tidak berasakan Arsenal mencipta banyak percubaan selepas itu, ia merupakan tiga mata yang berharga," katanya lagi.