Ikon Manchester United, Ryan Giggs, teruja dengan persaingan di antara Marcus Rashford dan Anthony Martial untuk merebut tempat dalam kesebelasan Jose Mourinho.

Rashford telah bermula dalam enam daripada tujuh perlawanan Liga Perdana United setakat musim ini tetapi penyerang Perancis itu mencabar hebat setelah menjaringkan lima gol dalam semua pertandingan, yang memberikannya tempat dalam kedua-dua perlawanan Liga Juara-Juara buat United.

Penyerang antarabangsa England itu telah menyatakan perebutan dengan Martial untuk posisi sayap kiri membantunya meningkatkan permainan di samping jelas menguntungkan pasukan.

Giggs berasakan kedua-duanya harus bermain bersama-sama dalam tahun-tahun mendatang, dengan Rashford lebih berperanan selaku penyerang tengah, tapi mahukan kedua-dua pemain agar lebih prolifik jika mahu tergolong antara bintang utama dunia.

“Perebutan di antara Marcus Rashford dan Antony Martial amat menarik untuk diikuti,” Giggs memberitahu Sky Sports.

“Saya melihat kedua-duanya bersama-sama dalam sebuah pasukan, dengan Marcus lebih sebagai seorang penyerang tengah semulajadi manakala Martial di sebelah sayap kiri tapi turut berupaya bermain di tengah-tengah.

“Kedua-duanya memiliki kelajuan, maka mereka amat berbahaya, walaupun untuk dianggap selaku pemain utama, mereka perlu menjaringkan 20 gol semusim,” katanya.

Di samping United, Giggs turut tertarik dengan musuh setempat, Manchester City, dalam perebutan kejuaraan musim ini, namun belum bersedia untuk mengetepikan peluang juara bertahan, Chelsea.

“Saya fikir masih terlalu awal untuk mengatakan ia adalah persaingan di antara dua pasukan sahaja dalam Liga Perdana,” kata bekas pemain dan penolong pengurus United itu.

"Manchester City berjaya menang di Stamford Bridge tapi anda harus mengambil kira minggu yang sukar buat Chelsea, dengan kunjungan ke Stoke dan kemudian meraih kemenangan sukar ke atas Atletico Madrid (sebelum perlawanan dengan City itu).

“Saya fikir Chelsea masih kekal dalam persaingan tapi City dan Manchester United lebih menarik tumpuan dan adalah pasukan-pasukan yang harus ditundukkan.

"Kita masih menanti untuk melihat jika City masih boleh menang apabila mereka tidak bermain dengan baik, jadi ujian sebenar menanti kedua-dua pasukan ini,” katanya lagi.