Jurgen Klopp masih belum memikirkan mengenai masa depannya di Liverpool ketika kontraknya bakal berakhir pada 2022.

Mempamerkan peningkatan positif selepas mengambil alih tugas Brendan Rodgers, pengendali kelahiran Jerman itu ditawarkan kontrak selama enam tahun pada Julai 2016.

Klopp, bagaimanapun, masih belum menjulang sebarang gelaran di Anfield selepas dua kali layak dalam aksi final Liga Europa (UEL) dan Liga Juara-Juara.

Liverpool kini memiliki kelebihan empat mata ke atas penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, yang meningkatkan peluang mereka untuk mengakhiri kemarau trofi pada Mei depan.

Tetapi Klopp berkata kejayaan yang diraih setakat ini tidak mendorongnya untuk mempertimbangkan masa depannya bersama The Reds.

"Saya tidak mahu melihat terlalu jauh," katanya. "Buat masa ini, Klopp masih belum memenangi apa-apa bersama Liverpool.

"Ia adalah realiti. Saya tidak mahu memikirkan kepada 2022. Perjalanan masih jauh.

"Beberapa pihak mengatakan musim panas akan datang adalah waktu terbaik untuk meninggalkan kelab jika kami memenangi sesuatu kerana kami tidak akan memenangi apa-apa lagi selepas ini.

"Bagi saya, 2022 masih lagi jauh dan berharap segalanya berjalan dengan lancar," ujarnya.