Kegigihan Pep Guardiola dalam merencanakan perancangan menjadikan corak permainan Manchester City bertambah mudah, menurut tonggak tengah, Ilkay Gundogan.

City berada dalam kemuncak prestasi apabila menampilkan rentak serangan yang lancar sejak awal musim ini untuk menerajui saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kelebihan lapan mata.

Skuad asuhan Guardiola itu belum pernah tewas dalam 17 perlawanan terakhir dengan menyumbat 52 gol serta hanya dibolosi sebanyak 11 kali setakat ini.

Gundogan mendakwa bekas bos Bayern Munich dan Barcelona itu telah menyediakan kaedah terbaik buat mereka mempamerkan aksi memukau ramai itu.

"Mungkin Pep bertanggungjawab besar dalam rentak kami. Dia menemui penyelesaian ke atas setiap lawan kami dan dalam setiap situasi selain begitu terperinci dalam semua aspek. Ini menjadikan tugas kami lebih mudah," kata Gundogan kepada SPOX.com.

"Pendekatan permainan kami menceritakan segala-galanya: sangat menarik, pantas, memiliki deretan peluang dan banyak gol. Ketika ini, permainan kami seronok untuk ditonton.

"Musim lalu, kami mempunyai banyak peluang, namun kami gagal mencetak banyak gol. Sekarang, kami lebih berbahaya. Penyerang kami hampir meledak gol dalam setiap kesempatan.

"Dengan gabungan hantaran yang baik dan mengawal permainan, adalah mudah untuk kami mendominasi pasukan lawan. Pada satu-satu masa, pasukan lawan terpaksa bertindak balas sehingga kami mendapat ruang yang besar untuk digunakan," katanya.

Biarpun jadual antarabangsa membantutkan momentum City, namun Gundogan percaya ia membantu mereka untuk tidak leka menjelang tempoh sibuk EPL tidak lama lagi.

"Terdapat beberapa pasukan yang boleh menyekat kami -- terutama oleh kami sendiri. Mungkin keadaan ketika ini terlalu bagus untuk kami," ujar pemain kebangsaan Jerman itu lagi.

"Mungkin jadual antarabangsa hadir tepat pada masanya kerana jadual semakin padat, malah pencabar yang kami hadapi juga semakin sukar.

"Kami berharap agar semua pemain kekal cergas selepas beraksi bersama pasukan negara masing-masing, kemudian segala-galanya akan kembali bermula dari awal.

"November, Disember dan Januari sudah bermula, terdapat banyak perlawanan dalam tempoh ini. Jadi, kami tidak boleh berehat daripada permulaan hebat ini. Kami mempunyai skuad yang sangat bagus dan semuanya mempunyai peluang seimbang. Inilah matlamat dan juga menjadi tuntutan buat kami," katanya lagi.