Virgil van Dijk berkata memori kegagalan menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada Manchester City musim lalu menjadi pemangkin Liverpool selepas dia membantu pasukannya meraih kemenangan 2-0 ke atas Manchester United di Anfield.

Pemain kebangsaan Belanda itu menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-14, namun pelawat turut berusaha mencari gol penyamaan sebelum Mohamed Salah menggandakan jaringan pada masa kecederaan, sekali gus menyaksikan The Reds kini berkelebihan 16 mata di puncak liga.

Penyokong di Anfield menyanyikan "kami akan memenangi liga" selepas wisel penamat ditiupkan tetapi Van Dijk menegaskan fokus pasukan kini terarah kepada perlawanan berdepan Wolves, Khamis ini.

"Semua orang mahu kami mengatakan sesuatu tetapi kami enggan terbawa-bawa dengan kemenangan ini," kata Van Dijk kepada Sky Sports.

"Saya berasakan pengalaman tahun lalu adalah sesuatu yang memperkuatkan mentaliti pasukan. Kami hanya mahu fokus kepada perlawanan seterusnya, kekal cergas dan memperbaiki lagi mutu permainan.

"Kami akan berdepan Wolves selepas ini, semua orang menyedari kemampuan yang dimiliki mereka. Kami akan berusaha membuat persiapan dengan baik."

Van Dijk tidak bersetuju dengan keputusan video bantuan pengadil (VAR) membatalkan jaringan Roberto Firmino yang dikatakan gara-gara dirinya telah melakukan kekasaran terhadap David de Gea pada minit ke-25.

Namun, The Reds berpeluang untuk menambah jaringan sebelum United mula menghadirkan kebangkitan mencari gol penyamaan.

"Saya tidak berasakan saya telah melompat sambil mengangkat tangan ke atas," jelas Van Dijk.

"Sukar untuk dijelaskan tetapi kami harus menerima keputusan VAR dan cuba sekali lagi menghasilkan jaringan."



Editor: Ammar Hakim