Pengendali Arsenal, Unai Emery, berpendapat perbincangan kontrak Aaron Ramsey tetap sudah berakhir walaupun dia menampilkan persembahan hebat ketika ini.

Bintang Wales, Ramsey, mendakwa dia bersedia untuk menandatangani kontrak baru tatkala The Gunners membatalkan tawaran lanjutan awal tahun lalu.

Pemain berusia 27 tahun itu bakal bergelar ejen bebas pada penghujung musim sambil Bayern Munich mendahului pasukan yang berkemungkinan menawarkan perjanjian pra-kontrak Januari ini.

Ramsey masuk selaku pemain gantian dalam babak kedua sewaktu membantu pasukannya menundukkan Tottenham Hotspur 4-2 kelmarin, sekali gus mencetuskan laporan dia bakal melakukan perbincangan semula dengan Arsenal.

"Dua bulan lalu, kami berbincang mengenai situasi terkini dan masa depan. Saya rasa ia satu perbualan yang menarik," kata Emery.

"Saya pernah memberitahu anda ketika sidang media sebelum ini bahawa saya mahu dia fokus buat pasukan dan menampilkan prestasi terbaik.

"Persembahannya ketika ini adalah apa yang saya mahukan dan masa depannya penting buat dia dan keluarganya.

"Saya rasa dalam aksi terakhir, dia sangat fokus. Kami berbincang sesama jurulatih dan memerhatikannya dalam setiap perlawanan.

"Fokus yang ditampilkan adalah sesuatu yang positif buat kami. Dia juga perlu memikirkan masa depan karier dan keluarganya. Jika dia bermain seperti ketika berdepan Spurs, ia sesuatu yang bagus untuk dia dan kami," katanya.

Namun, walaupun teruja dan kagum melihat prestasi Ramsey, Emery menegaskan tiada perubahan dalam perbincangan kontrak.

"Perbualan ini bukan untuk hari ini, bukan untuk kami atau saya," tambah Emery.

"Ia satu situasi yang telah tamat sebulan atau dua bulan yang lalu.

"Ketika ini, apa yang penting adalah dia tersenyum, menunjukkan komitmen dan prestasi seperti dalam pertemuan dengan Spurs. Itu yang terbaik untuk Ramsey dan Arsenal."