STOKE CITY 0 LIVERPOOL 3

Keputusan Jurgen Klopp merehatkan beberapa pemain utama Liverpool berhasil selepas mendaki ke tangga kelima dengan kemenangan 3-0 ke atas Stoke City di Stadium bet365, awal pagi tadi.


Mohamed Salah menjaringkan dua gol dalam tempoh 23 minit pada babak kedua perlawanan untuk merapatkan jurang dengan kelompok empat teratas saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain kebangsaan Mesir itu merupakan salah seorang daripada enam pemain yang direhatkan untuk perlawanan ini selepas melakar keputusan seri 1-1 dengan Chelsea, hujung minggu lalu.

Bagaimanapun, dengan ketiadaan tonggak utama pasukan, ia tidak menghalang The Reds untuk melakar kemenangan keempat berturut-turut di laman lawan bagi musim ini.

Sadio Mane, yang menamatkan kemarau gol selepas lima perlawanan, membuka jaringan selepas perlawanan berlangsung selama 17 minit.

Sebelum Liverpool memastikan tiga mata penuh, Salah -- yang bersama-sama dengan Philippe Coutinho dan Jordan Henderson di bangku simpanan sebelum itu -- menampan masuk hantaran Mane pada minit ke-77.

Salah menggandakan jaringan enam minit kemudian, sekaligus memberikan kemenangan selesa buat Liverpool yang memintas Tottenham dalam saingan EPL, manakala Stoke -- yang terkejut apabila penjaga gol, Simon Mignolet, tidak dibuang padang kerana menjatuhkan Mame Biram Diouf dalam separuh masa pertama -- menduduki tangga ke-16.