Pep Guardiola mengesahkan tiga lagi tonggak utama Manchester City diuji positif COVID-19 menjelang kunjung ke Chelsea dalam pertemungan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pertembungan City dengan Everton awal pagi Isnin ini ditunda berikutan penularan pandemik itu di kelab berkenaan yang menyaksikan Gabriel Jesus dan Kyle Walker termasuk dua kakitangan lain dijangkiti.

Perlawanan itu dibatalkan beberapa jam sebelum sepak mula selepas ujian calitan kem The Citizens mengesan banyak kes seterusnya muncul perlawanan kedua yang terpaksa ditunda musim ini akibat ancaman kesihatan tersebut.

Newcastle turut tidak kecuali lalu menyebabkan mereka terlepas perlawanan di Aston Villa sementara aksi Tottenham menentang Fulham juga mungkin berdepan nasib sama.

City meneruskan persiapan mereka pada Rabu lalu dan Guardiola mengesahkan tiga lagi anak buahnya turut perlu dikuarantin.


"Pada awalnya dua pemain dijangkiti sebelum tiga lagi menyusul," katanya dalam sidang media.



"Saya rasa Liga Perdana tidak membenarkan kami menamakan pemain terbabit tetapi anda akan mengetahuinya esok.

"Kami perlu menghormati privasi pemain. Esok anda berkesempatan melihat barisan pemain saya jadi tiga pemain utama akan terlepas perlawanan ini jadi anda boleh mengesannya dengan tepat tetapi saya tidak dibenarkan memberitahu anda.

"Orang mati di seluruh dunia. Sayangnya, masalahnya masih berlegar-legar dan pembasmian kuman telah dijalankan di pangkalan latihan kami dan semoga semua orang negatif dalam ujian calitan berikutnya manakala yang positif pula boleh kembali tanpa masalah."

Walaupun ada desakan agar kempen musim ini ditangguhkan sementara bagi memutuskan rantaian COVID-19 -- sekatan perjalanan mungkin menganggu kempen mereka -- Guardiola sebaliknya sedia mengikuti arahan Liga Perdana.

"Kami akan mengikuti apa jua arahan Liga Perdana," tambahnya.

"Mereka telah melaksanakan tugas yang luar biasa dan sejak penutupan pertama tetapi sangat malang apa yang terjadi dengan Newcastle.

"Saya sempat bercakap dengan Steve Bruce dan dia menjelaskan betapa keadaan sukarnya. Lebih daripada 20 orang telah dijangkiti dan ia boleh berlaku kepada mana-mana kelab dalam EPL.

"Di mana-mana sangat keadaannya dramatik dengan 1000 kematian dalam sehari. Kami harus berhati-hati.

"Kami gembira dapat beraksi dan dapat meneruskan tugas kami, tetapi pada masa yang sama kami tidak boleh mengabaikan kenyataan bahawa virus ini ada di sini dan kami tidak tahu dengan tepat bilakah boleh mengatasinya. Kami harus berhati-hati, memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial."