Pep Guardiola menyifatkan Phil Foden sebagai salah seorang pemain paling luar biasa yang pernah dilihatnya pada usia mentah dan mengatakan bahawa karier pemain itu akan terus melonjak sebaik belajar untuk bertenang.

Pemain tengah itu telah menyumbangkan lima gol dan mencipta empat bantuan jaringan dalam 17 penampilan bersama Manchester City musim ini.

Pemain England berusia 20 tahun itu meledak gol ketiga City menerusi penyudah yang luar biasa sebelum mengumpan kepada Aymeric Laporte dalam kemenangan 4-1 suku akhir Piala Liga Inggeris (EFL) di Arsenal, Rabu lalu.

Foden mencetak lapan gol selain sembilan bantuan jaringan pada musim lalu, sudah pasti dia akan memperbaiki prestasinya menjelang pertembungan dengan Newcastle United.

Pengurus The Citizens itu melabel Foden sebagai salah seorang pemain muda paling berbakat yang pernah dibimbingnya sambil memuji keinginan anak buahnya tersebut untuk bertambah baik, namun dia hanya akan mencapai kemuncak prestasinya apabila semakin berpengalaman.




Pengurus berbangsa Sepanyol itu berkata: "Mereka (pemain-pemain muda ini) mempunyai tenaga yang luar biasa tetapi dalam keputusan terakhir, hantaran terakhir, mereka perlu bertenang. Dengan kudrat muda, mereka ingin menawan dunia dan menjadi watak penting.

"Ini adalah normal tetapi mereka memerlukan pengalaman untuk menjadi lebih tenang. Dia beraksi dengan rentak sedangkan bola sepak harus dimainkan dalam irama yang berbeza: kadang-kadang anda harus berjalan, adakalanya anda tidak mempunyai rentak malah perlu mengubah rentak.

"Dia harus memahami aspek ini tetapi ini adalah siakl pengalaman, ia bukan bermaksud anda harus melakukannya sekarang juga.

"Dia mempunyai kemahiran yang luar biasa dan banyak perkara lain lagi jadi kami perlu sabar, bukan mudah bagi seorang pemain muda untuk bangkit, lebih-lebih dia ada di kelab sebesar ini, terbabit dalam perlawanan getir dan bersama pasukan kebangsaan.

"Akan ada saatnya perkembangannya tidak berjalan dengan baik dan itu adalah satu proses yang normal buat semua pemain muda. Kami perlu bersabar dengan mereka.

"Hasil kesabaran dan keinginan untuk menggilap pemain menjadi lebih baik, anda pasti akan memperoleh. Saya tahu kami boleh mempercayai dan bergantung kepadanya sepanjang masa."