Luis Enrique yakin Pep Guardiola akan mengembalikan Manchester City ke landasan kemenangan dan percaya kritikan dilontarkan terhadap pengendali itu timbul ekoran rasa cemburu.

Guardiola melakar kemenangan dalam kesemua 10 perlawanan sejak mengambil alih The Citizens, namun senario itu berubah dan kini mereka buntu merekodkan kemenangan dalam enam perlawanan setakat ini.

Terbaru, mereka tersingkir dari saingan Piala EFL selepas tewas 1-0 kepada pasukan jiran, Manchester United.

Terdapat pihak yang mempersoalkan corak permainan Pep, namun Enrique yakin City akan menikmati kejayaan musim ini.

"Kepada pengkritik Guardiola: Dia akan menang. Dia akan meraih trofi kejuaraan buat City musim ini, itu pasti," katanya dalam sidang media.

"Kritikan timbul ekoran mereka ini tidak senang kerana hanya pasukan yang sama muncul juara.

"Dan Pep akan menang dengan taktikal bola sepaknya. Saya percaya seorang jurulatih perlu memiliki falsafahnya tersendiri. Tiada peraturan sistematik untuk mencapai kejayaan."