Seorang penyokong ditahan kerana melemparkan objek ke atas padang ketika pertemuan "derby" London di antara Arsenal dan Tottenham Hostpur, malam tadi.

Polis Metropolitan memberikan pengesahan itu kepada Omnisport yang turut melibatkan tujuh tangkapan, termasuk seorang yang ditahan kerana melontar peluru ke arah padang dalam aksi di Stadium Emirates itu.

Ulang tayang di televisyen turut mendapati terdapat kulit pisang yang dibaling ke dalam padang sewaktu jaringan pembukaan Arsenal menerusi pemain kelahiran Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang.

Aubameyang kemudian menjaringkan gol kedua Arsenal dengan Alexandre Lacazette dan Lucas Torreira turut tersenarai selaku penjaring.

Pengurus Arsenal, Unai Emery, bagaimanapun, memuji suasana di Emirates dengan menyatakan ia sebagai inspirasi terhadap kemenangan 4-2 pasukannya.

"Mereka memberikan kami semangat ketika kami ketinggalan dalam separuh masa pertama.

"Kami membincangkannya di dalam bilik persalinan sewaktu masa rehat.

"Keputusan sewaktu itu tidak begitu baik, namun dorongan penyokong membantu kami memperoleh kemenangan," katanya.