Pengurus baru Chelsea, Frank Lampard, telah diberikan amaran oleh pertahanan The Blues, David Luiz, bahawa penyokong pasukan itu hanya akan bersabar selama enam bulan sebelum mengharapkan kejayaan.

Legenda Chelsea, Lampard, kembali ke pangkuan kelab itu menjelang musim baru ini bagi menggantikan Maurizio Sarri yang berpindah ke Juventus.

Apa yang menjadikan peralihan itu sesuatu yang sukar -- secara teori -- buat Lampard dan Chelsea ialah sekatan perpindahan pemain, yang bermakna mereka perlu mengharapkan sepenuhnya kepada produk-produk akademi, terutama selepas penjualan Eden Hazard kepada Real Madrid.

Berdasarkan situasi itu dan reputasi Lampard dalam kalangan penyokong pasukan itu, Luiz menjangkakan pengendali baru itu akan mendapat penerimaan lebih mudah berbanding individu-individu terdahulu.

Bagaimanapun, dia turut berasakan majoriti penyokong Chelsea hanya akan bersabar selama separuh pertama musim ini jika ia tidak berlangsung seperti yang diharapkan.

"Saya fikir semua faham mengenai saat ini dan setiap orang sedar keperluan untuk bersabar, namun pada akhirnya, semua orang mahukan kemenangan," katanya seperti yang dipetik Footbal London.

"Mereka hanya akan bersabar selama enam bulan dan dalam enam bulan berikutnya, mereka mahukan kemenangan daripada kami.

"Ia akan menjadi seperti itu, kami perlu memikirkannya dan melakukan yang terbaik untuk membuatkan mereka gembira.

"Jika anda tidak berfikir seperti itu (memenangi trofi), maka anda tidak layak untuk bermain dengan Chelsea.

"Impiannya perlu tinggi. Sudah pasti, anda mempunyai banyak kelab-kelab hebat.

"Mereka (kelab lain) sudah bekerjasama dengan pengurus mereka sejak lebih tiga atau empat tahun lalu dan memiliki skuad yang mantap.

"Dia atas padang, ia terpulang kepada kami untuk melaksanakan tugas kami," katanya.

Dia menambah: "Saya rasa kami kehilangan nama terbesar, iaitu legenda kelab ini, Eden Hazard, namun kami mempunyai pemain lain yang boleh menyelesaikan tugas itu."