Pengurus Leicester City, Brendan Rodgers, percaya tekanan lebih menjurus kepada Manchester United menjelang pertembungan terakhir liga di Stadium King Power musim ini esok memandangkan mereka terdesak untuk layak ke Liga Juara-Juara (UCL).

The Foxes sebelum ini selesa menguasai kelompok empat teratas tetapi hanya menang dua daripada lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak kancah musim ini disambung semula selepas berehat tiga bulan ekoran penularan wabak COVID-19.

Leicester kini satu mata di belakang The Red Devils menjelang hari terakhir liga musim ini sambil diekori Chelsea yang akan bertandang ke Wolves.

Rodgers menegaskan ia tetap merupakan musim yang baik buat pasukannya tanpa mengira hasil akhir minggu ini sementara tiket UCL merupakan suatu kemestian buat seteru mereka itu.

Bekas pengurus Liverpool itu berkata: "Terdapat perbezaan mengenai keinginan kami untuk berada dalam UCL, tetapi apabila anda adalah sebuah kelab seperti Manchester United, anda wajib ada dalam UCL.

"Kami ingin meraih tiketnya tetapi jika kami gagal, ini masih musim yang sangat baik."



Rodgers juga mahu menikmati peluang menghadapi perlawanan yang begitu getir.

"Saya pernah terlibat dalam perlawanan penentuan termasuk perlawanan timbal balik jadi saya bukan asing lagi dalam situasi ini. Ini satu situasi yang sangat menarik," katanya.

"Kadang-kadang semuanya menjadi semakin buruk dalam semusim, tetapi bagi kami inilah yang dicari-cari. Musim kami belum berakhir selagi belum sampai ke penghujungnya dan kami berpeluang menamatkannya dalam kelompok tinggi."

Rodgers menambah, "Kami akan menghadapi salah satu kuasa besar bola sepak dunia dan berpeluang mengatasi mereka seterusnya mara ke UCL. Kami mempunyai satu peluang terakhir dan ia membuktikan kepada anda mengenai sejauh mana prestasi pemain kami."

Leicester yang dilanda krisis kecederaan dijangka akan kembali mempertaruhkan kelincahan pemain sayap, Marc Albrighton.