Pengerusi Liverpool, Tom Werner, memuji impak yang dibawa Jurgen Klopp selepas pengurus itu memacu The Reds menjulang kejuaraan liga pertama sejak 1990.

Liverpool menamatkan penantian selama 30 tahun untuk dinobatkan sebagai juara Inggeris selepas Manchester City tewas 1-2 kepada Chelsea dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris semalam.

Liverpool menamatkan kemarau itu dengan masih berbaki tujuh perlawanan selepas hanya kekurangan satu mata ketika tewas kepada City musim lalu.

Werner memuji Klopp, yang mengambil alih pasukan itu pada 2015 dan membawa Liverpool memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah musim 2018-19.

"Saya tidak berpeluang untuk mengenali atau menyaksikan permainan hebat daripada (Bill) Shankly and (Bob) Paisley, jadi saya tidak mahu membandingkan Jurgen dengan pengurus sebelumnya," kata Werner.

"Saya sedar liga kini amat kompetitif dan ketika mula kami terlibat dengan Liverpool 10 tahun lalu, kami tidak pernah terfikir untuk memenangi liga.

"Impian kami adalah untuk menjadi empat pasukan teratas dan layak ke Liga Juara-Juara.

"Dia telah menciptakan satu suasana di Liverpool, di mana tiada pilihan selain kemenangan.

"Dia mencipta suasana seperti itu.

"Salah satu perkara yang saya paling gembira apabila menyaksikan pasukan ini ialah sumbangan daripada semua pemain.

"Ia tidak hanya bergantung kepada penyerang atau penjaga gol kami yang hebat.

"Terlalu banyak pemain memberikan sumbangan daripada (Jordan) Henderson hingga ke (Alex) Oxlade-Chamberlain, (Georginio) Wijnaldum, Fabinho, (Virgil) Van Dijk.

"Saya juga dapat rasakan kegembiraan mereka kerana saya menonton video keraian mereka semalam dan anda dapat rasakan persahabatan yang dimiliki kelab ini.

"Kami meraikannya sebagai sebuah kelab.

"Kami semua sangat gembira kerana ia usaha yang terlalu lama.

"Saya sedar penyokong kami telah berjuang selama 30 tahun untuk mencapai kemuncak ini.

"Fikiran pertama saya adalah hanya untuk berkongsi momen ini bersama penyokong kami kerana tanpa mereka, kelab ini tiada apa-apa.

"Seperti kata Jurgen, penyokong kami memberikan sumbangan luar biasa untuk memenangi liga -- bukan hanya tahun ini tetapi setiap tahun.

"Harapan saya agar semua yang menyokong kelab ini boleh meluangkan sedikit masa hari ini dan minggu ini untuk meraikan kejayaan yang luar biasa ini," katanya lagi.