Pengerusi dan pemilik Leicester City, Vichai Srivaddhanaprabha, adalah salah seorang daripada lima orang yang terbunuh selepas helikopternya terhempas di luar Stadium King Power pada tengah malam semalam, demikian pengesahan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Pesawat itu terhempas di tempat letak kereta sejurus berlepas kira-kira jam 20.30 waktu tempatan, kira-kira sejam selepas Leicester seri 1-1 dengan West Ham.

Semalam, Leicester mengesahkan bahawa tiada seorang pun dalam kalangan lima orang yang berada di dalam helikopter itu yang terselamat.

Polis Leicestershire menamakan empat lagi mangsa dikenali sebagai Nursara Suknamai dan Kaveporn Punpare (dua kakitangan Srivaddhanaprabha), juruterbang, Eric Swaffer, dan penumpang, Izabela Roza Lechowicz, walaupun mereka mengatakan pengecaman rasmi belum dijalankan.

Sebagai tanda penghormatan, perlawanan Piala Liga Inggeris (EFL) bertemu Southampton pada pertengahan minggu ini ditangguhkan.

Dalam satu kenyataan, Leicester berkata: "Dengan kekesalan yang mendalam dan hati yang remuk, kami mengesahkan pengerusi kami, Vichai Srivaddhanaprabha, adalah antara mereka yang kehilangan nyawa secara tragik apabila sebuah helikopter yang membawa beliau dan empat yang lain terhempas di luar Stadium King Power. Tiada seorang pun dalam kalangan lima orang tersebut yang terselamat.

"Semua pihak di kelab ini melahirkan rasa simpati terhadap keluarga Srivaddhanaprabha dan kami semua kehilangan kata-kata.

"Di Khun Vichai, dunia telah kehilangan seorang lelaki yang hebat. Seorang lelaki yang baik, bermurah hati dan seorang lelaki yang hidupnya ditakrifkan oleh kasihnya terhadap keluarganya dan mereka yang berjaya dipimpinnya.

"Leicester City merupakan sebuah keluarga di bawah pimpinannya. Kami berdukacita sebagai sebuah keluarga dan akan terus mengejar impiannya untuk kelab ini.

"Buku takziah, yang akan dikongsi bersama dengan keluarga Srivaddhanaprabha, akan dibuka di Stadium King Power pada jam 8 pagi Selasa ini bagi memberi peluang kepada penyokong yang ingin memberikan penghormatan.

"Kedua-dua perlawanan pertama pada Selasa (Rabu) nanti menentang Southampton dalam Piala EFL dan perlawanan membabitkan skuad pembangunan menentang Feyenoord dalam Piala Antarabangsa Liga Perdana telah ditangguhkan.

"Semua pihak di kelab ini cukup tersentuh dengan sambutan luar biasa daripada keluarga bola sepak yang menyampaikan mesej sokongan dan perpaduan yang amat dihargai dalam tempoh sukar ini."

Sebelum berita kematian Srivaddhanaprabha diumumkan, berpuluh-puluh peminat berkumpul untuk menyampaikan penghormatan bunga di Stadium King Power, sempena tempat di mana pengerusi berusia 60 tahun itu mencipta empayar membeli belah bebas cukai yang telah mengubah nasibnya.

Srivaddhanaprabha membeli Leicester pada Ogos 2010 dengan harga £39 juta (RM208.7) sebelum dinamakan pengerusi pada Februari 2011.

Beliau meraikan kejayaan Foxes menjulang trofi Liga Perdana pada 2015-16 selepas barisan bimbingan Claudio Ranieri itu mengejutkan dunia bola sepak.

Kisah yang tidak akan dapat dilupakan itu itu menjadikan Srivaddhanaprabha tersemat di hati penyokong Leicester, apatah lagi beliau akan menyajikan air dan makanan percuma sempena hari ulang tahunnya.

Menurut Forbes, kekayaan peribadi Srivaddhanaprabha berjumlah $4.9 bilion (RM20.4b) -- angka yang menjadikannya sebagai orang kelima terkaya di Thailand.