Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, menganggap pasukannya itu tidak berdepan sebarang tekanan untuk membuktikan keupayaan mereka sebagai pencabar utama kejuaraan Liga Perdana Inggeris berbanding enam pencabar lain.

Spurs kini menghuni tangga ketiga carta liga selepas memenangi tiga perlawanan terakhir selain enam kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan.

Mereka memaparkan aksi meyakinkan ketika menamatkan rekod tanpa kalah Chelsea menerusi kemenangan 3-1, hujung minggu lalu, dan bersedia mengulangi pencapaian itu ketika berdepan Arsenal yang merekodkan 18 perlawanan tanpa kalah, malam ini.

Pochettino, bagaimanapun, percaya pasukannya itu bebas daripada sebarang tekanan berdasarkan rekod perbelanjaan musim ini, di mana mereka gagal menandatangani sebarang pemain.

"Kami mempunyai rekod yang baik berbanding musim lalu, namun saya tidak mahu mengatakan kami adalah pencabar utama kejuaraan," katanya.

"Mereka melakukan perbelanjaan yang lebih besar berbanding kami.

"Saya rasakan mereka perlu lebih membuktikan cabaran berbanding kami.

"Namun, kami di landasan yang betul, kami membuktikannya dalam beberapa bulan ini untuk berada di kedudukan yang baik," tambahnya.

Di sebalik rekod menakjubkan itu, Tottenham berkemungkinan terkeluar daripada kedudukan empat terbaik andai mereka tewas dalam pertemuan 'derby' London di Stadium Emirates, malam ini.

Pochettino turut mengakui persaingan merebut tempat ke Liga Juara-Juara Eropah kini lebih getir berbanding musim-musim terdahulu.

"Benar, agak sukar untuk kami mengekalkan kedudukan empat terbaik berbanding musim-musim sebelum ini.

"Namun, kami percaya kami mampu untuk melakukannya dengan memberikan aksi yang baik dan yang paling penting adalah kami pasukan yang berkualiti," katanya.