Pengurus Southampton, Mauricio Pellegrino, mengakui gembira dengan sikap yang ditunjukkan oleh pertahanan, Virgil van Dijk, namun berharap agar peminat bersabar dengan kembalinya pemain Belanda itu.

Van Dijk menarik minat Liverpool untuk mendapatkan khidmatnya ketika jendela perpindahan pada musim panas lalu, namun The Kop melupakan hasrat itu selepas didapati melanggar undang-undang dalam usaha berkenaan.

Pertahanan tengah itu menghantar permohonan untuk berpindah tetapi gagal menyelesaikan sebarang perpindahan dan akhirnya melakukan penampilan pertama sebagai pemain gantian pada musim ini ketika menentang Crystal Palace.

Dia sekadar memanaskan bangku simpanan ketika skuad Saints tewas 0-1 di tangan Manchester United pada hujung minggu lalu dan Pellegrino jelas berhati-hati dalam menyenaraikannya semula dalam kesebelasan utama.

“Apa yang diperlukan Van Dijk ketika ini adalah waktu permainan tetapi apabila kami memilihnya, dia harus bersedia.

“Ia agak sukar untuk melihat aksi terbaiknya dalam aksi pertama kerana pastinya Van Dijk memerlukan masa. Semakin hari, dia semakin baik.

“Setiap minggu, prestasinya semakin meningkat. Kami harus bersabar. Saya teruja dengan sikap yang ditunjukkan dan yakin dia akan bersedia apabila kembali,” katanya.

Pellegrino turut tidak menafikan jawatan ketua pasukan buat Van Dijk seandainya dia menunjukkan komitmen yang tinggi kepada pasukan.

“Van Dijk masih salah seorang kapten kami dan saya tidak bercadang untuk mengubahnya.

"Jawatan itu bukan satu posisi tetapi melibatkan satu keputusan. Jika anda mahu menjadi kapten, anda harus berhak meraihnya,” tambah Pellegrino.