Pemenang Piala Dunia England dan bekas pemain Manchester United, Nobby Stiles meninggal dunia pada usia 78 tahun.

Keluarga Stiles mengesahkan bahawa bekas pemain tengah itu meninggal dunia secara tenang awal pagi tadi selepas sekian lama tidak sihat.

Stiles yang dilahirkan di Manchester pernah mewakili England sebanyak 28 kali dan memainkan peranan besar ketika negara itu memenangi Piala Dunia pada 1966.

Dua tahun kemudian, dia membantu United menjadi pasukan Inggeris pertama memenangi Piala Eropah.

Dia melakukan 400 penampilan bersama United dalan kesemua kejohanan sepanjang 11 tahun di Old Trafford dan menyertai Middlesbrough dan Preston North End sebelum bersara pada 1975.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, United berkata:" Kami amat berdukacita mendengar berita kematian Nobby Stiles MBE.

"Seorang yang memainkan peranan ketika kami menjadi pasukan pertama memenangi Piala Eropah, Nobby merupakan legenda dalam sejarah kelab ini, menghargai jiwa dan perwatakannya di dalam dan di luar padang.

"Dia pasti akan dirundui kita semua."

Pasukan kebangsaan England turut menciap dalam Twitter dengan berkata: "Kami dengan berdukacita memaklumkan tentang kematian Nobby Stiles, pemain utama dalam skuad juara Piala Dunia, pada usia 78 tahun.

"Segala ingatan kami buat seluruh keluarga Nobby.