Pemecatan Mourinho: Klopp hambur pujian buat bekas pengendali United

Oleh Penulis Jemputan 19 Disember 2018 3250
Pemecatan Mourinho: Klopp hambur pujian buat bekas pengendali United
Jose Mourinho tetap seorang pengurus hebat walaupun telah dipecat oleh Manchester United, kata pengendali Liverpool, Jurgen Klopp.

Liverpool mencatat kemenangan 3-1 ke atas seteru utama itu di Anfield, Ahad lalu, tatkala ia menjadi aksi terakhir buat Mourinho mengendalikan United apabila dia dipecat 48 jam kemudian.

Walaupun banyak kritikan dilemparkan terhadap bekas pengurus Chelsea dan Real Madrid itu, Klopp tetap menghormati Mourinho di atas pencapaiannya sebelum ini.

Pengurus Liverpool itu juga percaya reputasi Mourinho tidak boleh dipandang rendah berdasarkan kegagalannya bersama United apabila dia menjulang trofi Piala Liga dan Liga Europa di Old Trafford.

"Mourinho adalah individu yang sentiasa bersaing, bercita-cita tinggi serta sangat berdedikasi," kata Klopp.

"Saya menghormatinya. Dia telah melalui kejayaan yang sukar dipercayai dan saya yakin apa yang berlaku dalam beberapa bulan terakhir bukan sesuatu yang menggembirakan semua orang.

"Tidak elok apabila anda perlu berdepan soalan sebegini setiap hari tetapi tiada siapa boleh menafikan kejayaannya sebelum ini.

"Saya harap dia kuat dan tidak memikirkan apa yang berlaku kebelakangan ini. Dia seorang pengurus hebat. Satu-satunya individu yang boleh bercakap tentang apa yang berlaku adalah Mourinho."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen