Jose Mourinho berpendapat tiada guna untuk dia memikirkan peluang yang terlepas untuk mengendalikan Arsenal tatkala dia kini gembira bersama seteru London, Tottenham Hotspur.

Selepas Mauricio Pochettino dipecat di Stadium Tottenham Hotspur, bekas pengurus Chelsea dan Manchester United, Mourinho, dinamakan selaku pengurus Spurs minggu lalu.

Unai Emery turut dipecat Arsenal semalam selepas berdepan tekanan selama beberapa minggu gara-gara tujuh perlawanan tanpa kemenangan dalam semua kejohanan.

Susulan berita pemecatan itu, pihak pengurusan The Gunners dilaporkan berminat untuk mendapatkan Mourinho sebelum pengendali dari Portugal itu dilantik Spurs.

Namun, Mourinho tidak berminat dengan perkara itu dalam sidang media menjelang pertemuan menentang Bournemouth di laman sendiri malam ini.

"Tiada guna bercakap tentangnya," katanya.

"Ia tidak berlaku sewaktu saya tidak memiliki pekerjaan, ia terjadi sekarang.

"Saya sangat gembira di sini sehingga tidak memikirkan kemungkinan akan berhijrah ke tempat lain. Anda boleh letakkan kepada saya mana-mana kelab di dalam dunia dan saya tidak akan berpindah."

Mengenai pemecatan Emery, bekas pengurus Real Madrid itu menambah: "Ia berita menyedihkan. Saya melaluinya sewaktu kecil apabila bapa saya dipecat selaku pengurus. Saya juga rasakannya ketika dipecat sebelum ini.

"Tiada pengurus yang membuatkan saya gembira apabila mereka dipecat. Saya sentiasa melalui situasi sebegitu. Saya sedih mengenainya tetapi itulah kehidupan.

"Emery adalah jurulatih hebat. Dia tidak gembira di Arsenal, ia amat jelas tetapi dia seorang pengurus hebat dengan rekod sebelum ini.

"Berbekalkan sedikit rehat, kelab besar lain akan datang kepadanya dan kariernya akan kembali di landasan tepat. Tiada drama. Teruskan dan anda akan menerima kelab lain."