Pemecatan Emery: Kami kecewakan pengurus -- Luiz

Oleh Staff Writer 30 November 2019 1170
Pemecatan Emery: Kami kecewakan pengurus -- Luiz
David Luiz percaya pemain Arsenal patut turut dipersalahkan susulan pemecatan Unai Emery.

Semalam, Emery dipecat selaku pengurus The Gunners, sehari selepas kekalahan 2-1 di tangan Eintracht Frankfurt dalam saingan Liga Europa, sekali gus meneruskan rentetan tujuh perlawanan tanpa kemenangan dalam semua kejohanan.

Pilihan peminat, Freddie Ljunberg, akan bertindak selaku pengurus sementara untuk kunjungan ke Norwich City.

Luiz yang hadir ke Emirates, musim panas lalu -- dan pernah beraksi di bawah kendalian Emery sewaktu di Paris Saint-Germain (PSG) -- berpendapat sudah tiba masa untuk pemain Arsenal bangkit.

"Hari yang sedih untuk semua orang, terutama kerana kami membuatkan anda kecewa, maaf!" kata Luiz.

"Tidak kira apa pun keputusan, selamat maju jaya untuk masa depan!"

Luiz tiba di Arsenal pada hari terakhir kemasukan pemain daripada seteru Liga Perdana Inggeris, Chelsea, dalam jendela perpindahan yang meyakinkan tatkala The Gunners turut membawa masuk pemain termahal kelab London itu, Nicolas Pepe, serta Dani Ceballos yang dipinjam daripada Real Madrid.

Namun, keputusan tidak seperti diharapkan dan Ljunberg akan meletakkan sasaran mencipta peningkatan selepas mengutip 18 mata daripada 13 perlawanan liga.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen