Penggempur Manchester City, Sergio Aguero, berasakan pembedahan lutut telah membuatkannya menerima suntikan kecergasan baru bagi membolehkannya menjalankan tugas yang diberikan oleh Pep Guardiola dengan lebih baik.

Aguero, yang merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman buat City, sering dilihat tidak memiliki hubungan baik dengan Guardiola yang tampak lebih cenderung dengan khidmat Gabriel Jesus.

Namun, penyerang itu tampil dalam kesebelasan utama bagi kesemua 12 perlawanan liga musim ini berbanding Jesus yang hanya beraksi dua kali, menyumbat lapan gol, termasuk gol ke-150 peribadi dalam Liga Perdana Inggeris, untuk meletakkannya dalam perlumbaan Kasut Emas.

Dia mendedahkan pembedahan yang dilalui sebelum Piala Dunia sebagai faktor yang membuatkannya lebih tajam di depan gol dan lebih mudah mengikut taktikal daripada Guardiola.

"Segalanya hadir daripada rasa tidak selesa di bahagian lutut. Saya merana untuk tempoh lama dan melalui banyak proses perubatan bersama fisioterapi kelab," kata Aguero.

"Saya berasa tidak selesa dan akhirnya di penghujung musim lalu, saya membuat keputusan untuk menjalani pembedahan sebelum Piala Dunia. Sejak itu, saya berasa hebat, tidak sakit dan sebab itu saya lebih menikmati bola sepak sekarang.

"Nasib baik saya melaluinya dengan sempurna dan Guardiola gembira. Syaa cuba melakukan apa yang dia suka dan membantu pasukan. Jelas sekali, saya pemain pertama yang memberikan tekanan buat lawan dan pembedahan itu membuatkan saya dapat melakukannya dengan lebih kerap."

City meraih permulaan cemerlang dalam usaha mempertahankan trofi liga setelah meninggalkan naib juara, Manchester United, dengan perbezaan 19 mata musim lalu tatkala skuad The Red Devils itu merupakan pasukan terakhir yang mempertahankan kejuaraan liga pada musim 2008/09.

City bimbingan Guardiola kini dua mata mengatasi Liverpool menjelang kunjungan ke West Ham United esok sambil Chelsea turut kekal belum tewas di bawah kendalian Maurizio Sarri.

"Bukan mudah untuk memenangi Liga Perdana Inggeris berturut-turut tetapi di dalam bilik persalinan, saya dapat lihat tenaga dan disiplin sama seperti musim lalu. Ia membuatkan saya yakin," tambah Aguero.

"Jadi, jika kami terus melakukan perkara sama dan fokus, saya rasa kami berpeluang untuk menjulang trofi liga berturut-turut.

"Kami tahu corak permainan kami, cara untuk memberi tekanan, mencipta serangan dan semua pergerakan kerana pemain telah beraksi bersama dalam tempoh yang lama dan dibarisi oleh hampir semua pemain yang sama seperti musim lalu.

"Ia bergantung kepada kami dan jika fokus dapat dikekalkan, kami mampu melakukannya."