Ole Gunnar Solskjaer mendakwa kekalahan Manchester United kepada Burnley bukanlah "cerminan yang adil" terhadap pemain-pemainnya yang kepenatan mental selepas mengharungi jadual padat.

United kini di tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL), namun ketinggalan enam mata kepada penghuni tangga keempat, Chelsea, selepas tewas 2-0 kepada Burnley di Old Trafford kelmarin.

Chris Wood dan Jay Rodriguez menjaringkan gol buat pasukan pelawat manakala United, yang telah menampilkan peluang dalam separuh masa pertama, gagal memberikan respons selepas ketinggalan.

Pengurus, Solskjaer, tidak mahu United kecewa di sebalik kekalahan itu, namun percaya pemain-pemainnya sedang bergelut.

Mereka bakal berdepan Tranmere Rovers dalam aksi Piala FA, Ahad ini sebelum aksi timbal balik separuh akhir Piala EFL berdepan Manchester City dan seterusnya menerima kunjungan Wolves bagi saingan liga.

United selepas itu boleh menikmati rehat pertengahan musim sebelum kembali berdepan Chelsea pada 17 Februari.

"Bagi kami, United hanya perlu kekal dengan nilai-nilai yang diterapkan pasukan, kekal dengan keyakinan kami di samping menyedari tiada guna untuk berasa bersalah terhadap diri sendiri," kata Solskjaer.

"Anda mengetahui anda perlu kembali ke gelangang latihan dan membuat persiapan untuk perlawanan Ahad ini.

"Kami menyedari banyak perlawanan yang perlu dihadapi sejak permulaan bulan Disember dan mengharungi jadual yang sangat padat. Kami berasakan sesetengah pemain telah beraksi lebih daripada apa yang telah dijangkakan.

"Lebih kepada mental berbanding fizikal, saya berasakan mereka memerlukan rehat. Jadi, kami akan meneruskan cabaran menghadapi tiga lagi perlawanan dan memberikan tumpuan untuk aksi Ahad ini.

"Perlawanan Piala FA berdepan Tranmere adalah peluang untuk pasukan mendapatkan semula keyakinan pemain-pemain."

Solskjaer berkata United kadangkala menampilkan permainan menakjubkan tetapi berdepan Burnley merupakan petunjuk terhadap kelemahan pasukan, ditambah pula dengan ketiadaan Paul Pogba, Scott McTominay dan Marcus Rashford yang mengalami kecederaan.

"Saya tidak akan berkata ia adalah cerminan yang adil buat pasukan selepas apa yang telah diharungi. Mereka telah menampilkan persembahan yang berkualiti sebelum ini.

"Sememangnya saya tidak boleh berdiam diri dan mengakui persembahan itu tidak cukup bagus daripada Manchester United.

"Namun, daripada segi persembahan pemain, mereka telah cuba melakukan yang terbaik."




Editor: Ammar Hakim