Jose Mourinho percaya Manchester United tidak mendapat kredit secukupnya selepas berjaya menewaskan Tottenham Hotspur 1-0, minggu lalu.

Penyokong di Old Trafford tampak mencemuh keputusan pengendali dari Portugal itu selepas mengeluarkan Marcus Rashford untuk digantikan oleh Anthony Martial.

Bagaimanapun, suasana bertukar apabila pemain sayap Perancis itu menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-81 dan kemenangan itu menyebabkan Mourinho melakukan isyarat menutup mulut kepada kamera sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan.

Selepas aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Benfica yang menyaksikan United menang 2-0 pada Rabu lalu, Mourinho sekali lagi memberikan kenyataan buat peminat Red Devils.

"Saya berharap anda menikmati perlawanan hari ini lebih daripada ketika menentang Spurs.

"Saya tidak mahu komen tentang prestasi pasukan kerana jika saya berbuat begitu, saya hanya akan melakukan sesuatu yang bukan kerja saya.

"Ia satu pendekatan yang berbeza dalam menganalisis pasukan dan saya faham tentang itu. Sesetengah persembahan oleh sesebuah pasukan boleh dikira ajaib. Sebagai contoh, taktikal yang bijak dan tahap disiplin tinggi oleh pemain-pemain.

"Sejujurnya, contoh lain adalah, Spurs menundukkan Liverpool dan Real Madrid tetapi tidak mampu menjaringkan gol menentang United. Jadi, pemain-pemain saya seharusnya menerima pujian," katanya.

Ketika ditanya mengenai perkembangan pemain-pemain yang masih cedera seperti Marouane Fellaini dan Paul Pogba menjelang aksi menentang Chelsea pada Ahad ini, bekas pengurus The Blues itu menjelaskan masih terlalu awal untuk bercakap tentang perkara itu.

"Saya perlu menunggu sedikit masa lagi. Kebiasaannya sidang media akan dijalankan sebelum perlawanan.

"Saya tidak begitu yakin tetapi tidak akan berbohong mengenai keadaan pemain," tambah Mourinho.