Pemain Terbaik UEFA: De Bruyne, Lewandowski, Neuer dalam senarai akhir rebut anugerah 

Oleh Shaiful Shamsudin 24 September 2020 193
Pemain Terbaik UEFA: De Bruyne, Lewandowski, Neuer dalam senarai akhir rebut anugerah 
Kevin De Bruyne, Robert Lewandowski dan Manuel Neuer disenarai pendek dalam Anugerah Pemain Terbaik Lelaki UEFA bagi kempen 2019-20.

Bintang Manchester City, De Bruyne -- yang baru-baru ini diangkat sebagai Pemain Terbaik PFA -- dalam senarai tiga calon terbaik bersama-sama dua bintang Bayern Munich itu yang membantu gergasi Bundesliga terbabit meraih tiga kejuaraan musim lalu.

Pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk, yang diangkat selaku pemenang pada musim lalu apabila mendahului Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Tetapi tiada seorang pun daripada ketiga-tiga calon musim lalu itu dalam pencalonanan akhir kali ini, oleh yang demikian sesiapa pun pemenangnya kelak akan memenanginya buat julung kalinya. 

Neuer hanya terlepas satu perlawanan ketika Bayern mencipta gemilang 'treble' selain menempuhi enam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) tanpa dibolosi sementara rakan sepasukan, Lewandowski, mengumpul 55 gol dalam 47 penampilan buat pasukan asuhan Hansi Flick itu. 
 

Sementara itu, De Bruyne menghasilkan 20 bantuan gol buat The Citizens dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) termasuk berbekalkan 13 gol.

Tatkala tiga tempat teratas masih menjadi tanda tanya, UEFA mengesahkan kedudukan empat hingga 10.

Penyerang Barcelona, ​​Messi, di tangga keempat disusuli Neymar daripada Paris Saint-Germain (PSG) sementara penyerang Juventus, Ronaldo, di tempat ke-10.

Thomas Muller (keenam), Kylian Mbappe (ketujuh), Thiago Alcantara (kelapan) dan Joshua Kimmich (kesembilan) merupakan barisan bintang yang melengkapkan carta 10 pemain terbaik benua itu. 

Ronaldo pernah memenangi penghormatan itu sebanyak tiga kali sejak pertama kali menerima anugerah itu pada 2011, sementara Messi telah meraihnya dua kali.

Andres Iniesta, Franck Ribery, Luka Modric dan Van Dijk masing-masing pernah sekali merangkul anugerah berdasarkan pilihan jurulatih dan wartawan itu. 
 

Lucy Bronze, Wendie Renard dan Pernille Harder pula menerima penghargaan Pemain Terbaik Wanita bagi edisi 2019-20.

Pengurus Bayern, Flick; pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dan pemain RB Leipzig, Julian Nagelsmann, tersenarai pendek bagi pencalonan Pengurus Lelaki Terbaik tahun Ini.
  Pemenangnya akan diumumkan dalam satu majlis undian peringkat kumpulan UCL pada 1 Oktober depan. 

Messi dan Ronaldo pernah memenangi versi anugerah sebelum ini, Pemain Terbaik UEFA, sebelum ia digantikan selepas kempen 2009-10 yang menyaksikan Diego Milito muncul sebagai pilihan.

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen