Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, berkata The Reds menghadiahkan kemenangan 4-3 kepada Bournemouth pada Ahad kerana pemainnya telah berhenti daripada bermain.

Liverpool mendahului 2-0 memasuki masa rehat di Stadium Vitality hasil jaringan Sadio Mane dan Divock Origi sebelum gol oleh Emre Can bagaikan mengesahkan tiga mata buat Liverpool selepas Calum Wilson menyempurnakan sepakan penalti.

Namun, Bournemouth bingkas bangkit menerusi Ryan Fraser dan Steve Cook untuk menyamakan kedudukan sebelum Nathan Ake menghadirkan gol kemenangan pada masa kecederaan.

Klopp memuji pasukan tuan rumah kerana mempamerkan aksi penuh bersemangat, namun menggesa anak buahnya untuk belajar daripada kesilapan tatkala rekod 15 perlawanan tanpa kalah Liverpool berakhir.

"Mula-mula sekali saya mahu mengatakan bahawa Bournemouth layak menang," Klopp memberitahu Sky Sports. "Mereka berjuang habis-habisan. Kami membenarkan mereka bangkit. Kami membuka pintu dan mereka meluru masuk dan menjaringkan gol yang cantik.

"Kami membuka ruang kerana pemain saya berhenti daripada bermain. Saya harap mereka belajar daripada kesilapan ini. Perkara sebegini sememangnya akan berlaku."

Kekalahan tersebut meletakkan Liverpool empat mata di belakang pendahulu, Chelsea, namun Klopp menegaskan masih terlalu awal untuk menentukan keputusan di akhir musim.

"Situasi kurang menyenangkan ketika ini tetapi kadang-kala kami memerlukan senario ini untuk berlaku," tambahnya.

"Tiada jalan yang tidak berbatu.

"Tiada pasukan yang mampu menjadi juara atau disingkir pada bulan Disember."