Ole Gunnar Solskjaer sedia untuk menurunkan Paul Pogba dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Bruno Fernandes untuk menjadi tunjang barisan tengah Manchester United.

Kecederaan buku lali serta tapak kaki memaksa juara dunia, Pogba, diketepikan hampir keseluruhan musim ini dan masih lagi tidka diturunkan bersama pemain terbaru United, Fernandes.

Dalam ketiadaan Pogba, Fernandes berjaya mencuri tumpuan apabila cepat menyesuaikan diri sejak berhijrah dari Sporting CP.

Terdapat laporan yang menyatakan Pogba bakal meninggalkan Old Trafford pada penghujung musim ini, tetapi Solskjaer mahu melihat bagaimana permainan yang dapat dihasilkan kedua-dua pemain ini terlebih dahulu.

"Pemain-pemain berkualiti boleh digandingkan bersama," katanya.

"Tetapi saya masih lagi memiliki pemain seperti Scott [McTominay], Fred, Nemanja [Matic], jadi adalah tiga lagi pemain mampu mengisi kekosongan itu."
Solskjaer berkata Pogba akan bersedia untuk diturunkan sejurus saingan bersambung, selepas ia telah ditangguh sejak Mac ekoran penularan koronavirus.

Sama seperti penyerang kelahiran England, Marcus Rashford, yang mengalami kecederaan belakang sejak Januari.

"Pogba menghadapi musim yang sukar dengan masalah kecederaan dan ya, Marcus [Rashford] dijangka pulih sepenuhnya.

"Jika United dapat menurunkan kedua-dua pemain ini, semestinya permainan kami akan meningkat dengan lebih baik."