Pemain Manchester United sekarang 'syok sendiri', kata Keane

Oleh Shaiful Shamsudin 2 November 2020 8293
Pemain Manchester United sekarang 'syok sendiri', kata Keane
Ole Gunnar Solskjaer sudah pasti tidak terlepas berdepan pemecatan selepas prestasi kurang bersemangat ditonjolkan barisan Manchester United, menurut Roy Keane.

The Red Devils gagal mencatat sebarangan kemenangan di laman sendiri dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas kecundang 0-1 kepada Arsenal di laman sendiri awal pagi tadi -- kemenangan pertama The Gunners di Old Trafford sejak 2006 dalam perlawanan ke-100 Solskjaer bertindak sebagai pengurus.

Kekalahan itu membuatkan United terperosok ke tangga ke-15, lantas bekas ketua pasukan United tersebut, yang bekerja sebagai pemerhati di Sky Sports, memberikan penilaian yang kejam terhadap penampilan pasukan berkenaan.

"Mereka mahu bangkit tetapi tiada kualiti, tidak tenang termasuk persembahan beberapa pemain yang benar-benar buruk," kata Keane.

"Ole, sekali lagi akan menggaru kepalanya. Kita telah bercakap soal ini sejak beberapa minggu terakhir sesudah pertembungan dengan Spurs lagi, adakah mereka sudah mengubah keadaannya? Ini telah menjadi satu tempoh yang panjang. 

"Ole akan membayar harga tinggi mengenainya. Ole akan kehilangan jawatannya sekiranya berterusan bekerjasama dengan kumpulan pemain seperti ini. Itulah yang akan berlaku.

"Jelas terdapat kekurangan kualiti di Manchester United dan kebangkitan kelab ini akan mengambil masa yang lama.

"Anda harus mempercayai pemain, tugas anda bergantung kepada orang-orang ini di luar padang. Tetapi bolehkah?"


 

Bekas bintang Republik Ireland itu, yang membuat 480 penampilan bersama The Red Devils dari 1996 hingga 2005, terus menekankan betapa United kurang bernafsu dalam kemelut ini.

Tambahnya, pasukan tidak mempunyai seseorang yang berada di atas padang yang boleh menyemarakkan semangat pasukan. 

Dia berkata: "Anda beraksi untuk United dan anda sudah dijangka untuk meranapkan pasukan lawan, pemain perlu turun membantu pertahanan dan bekerja keras. Itulah karakter di Manchester United.

"Saya tidak melihat sebarang pemain seperti itu di luar sana. Saya tidak melihat ada pemain yang mempamerkan semangat juang tinggi, seorang pemain yang boleh dipercayai. Alex Ferguson selalu berpesan bahawa kami memerlukan keberanian untuk menjadi pemain Manchester United -- menginginkan bola ketika kami tidak begitu menginginkannya.

"Berani tidak semestinya memukul seseorang. Berani bermaksud menginginkan penguasaan bola, peminat memberi sokongan padu dan keberanian untuk membawa bola ke depan. Pemain United sekarang seperti mengambil pilihan mudah. ​​Mereka sepatutnya melakukan yang lebih baik lagi."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen