Pemain Liverpool tidak sabar jumpa City -- Robertson

Oleh Penulis Jemputan 30 Disember 2018 1856
Pemain Liverpool tidak sabar jumpa City -- Robertson
Andy Robertson menegaskan semua pemain dalam skuad Liverpool kini bersedia untuk berdepan Manchester City selepas membenam Arsenal 5-1, awal pagi tadi.

Selepas ketinggalan hasil jaringan Ainsley Maitland-Niles seawal minit ke-11, skuad kendalian Jurgen Klopp itu bangkit untuk mendahului 4-1 dalam babak pertama hasil dua jaringan Roberto Firmino serta satu gol daripada Mohamed Salah dan Sadio Mane.

Firmino melengkapkan hatrik selepas rehat untuk mengesahkan kemenangan Liverpool, membuatkan Robertson tidak sabar untuk mengharungi kunjungan ke Etihad, Khamis ini, dan meraih kemenangan ke-10 berturut-turut.

"Aksi berdepan City adalah perlawanan besar," kata Robertson.

"Mungkin semua pemain dalam skuad sedang menantikan perlawanan itu.

"Namun, kami mengharungi aksi dalam bulan Disember secara satu persatu dan mendapatkan pendahuluan yang selesa.

"Kami menantikannya. Kami akan berehat dan mempersiapkan diri untuk perlawanan itu."

Sementara itu, pertahanan Liverpool, Virgil Van Dijk, berpendapat pasukannya masih mempunyai ruang untuk meningkat walaupun The Reds kini melalui 20 aksi liga tanpa kalah.

Liverpool mengekang penjaring terbanyak Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang, di sepanjang perlawanan sehingga penyerang itu hanya berupaya menyentuh bola 13 kali dalam keseluruhan aksi, termasuk enam kali daripada sepak mula.

"Kami tahu mereka bahaya t berbekalkan kelajuan di barisan depan. Kami tidak bernasib baik dibolosi tetapi tetap mempamerkan aksi sepatutnya. Kami berhak menang hari ini," ujar Van Dijk.

"Kami masih perlu meningkatkan prestasi. Kami sangat gembira dengan keadaan sekarang tetapi akan cuba mengekalkan corak permainan yang sempurna.

"Apa sahaja boleh berlaku. Kami di landasan terbaik, ia sukar tetapi tetap berasa hebat bergelar pemain Liverpool."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen