Pemain tengah Arsenal, Jack Wilshere, akan mendapat peluangnya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), menurut pengurus, Arsene Wenger.

Wilshere menampilkan aksi mengagumkan untuk membantu pasukan bimbingan Wenger itu menang 1-0 ke atas Red Star Belgrade dalam aksi Liga Europa, awal pagi tadi.

Ia adalah penampilan keempat pemain berusia 25 tahun itu musim ini, namun pemain antarabangsa England itu masih belum diturunkan dalam kempen liga.

Begitupun, Wenger berkata, situasi itu akan berubah tidak lama lagi dengan pasukannya akan berkunjung ke Everton, hujung minggu ini.

"Dia akan mendapat peluangnya dalam EPL. Usah risau, saya fikir pada masa ini ia akan kekal seperti itu," kata pengurus berbangsa Perancis itu.

"Dia disepak kuat di pergelangan kakinya pada babak pertama tetapi dia berjaya beraksi selama 90 minit. Dengan corak kesungguhan seperti itu, sudah ia akan banyak membantunya," tambahnya.

Arsenal meraih kemenangan itu hasil tindakan hebat daripada Olivier Giroud pada minit ke-85.

Wenger memuji watak pasukannya yang telah dipersoalkan berikutan kekalahan mengejut kepada Watford.

"Keseluruhannya, saya fikir apa yang luar biasa adalah semangat yang kami telah pamerkan dan berjuang bersama-sama dalam permainan yang sangat mencabar fizikal," katanya.

"Akhirnya kami mendapat kemenangan kerana saya fikir mereka bertahan dengan baik dan membulatkan tekad," katanya lagi.