Legenda Chelsea, Didier Drogba, yang menunjangi kejayaan kelab Liga Perdana Inggeris itu meraih dua gelaran liga, bakal hadir bertemu peminat di Kuala Lumpur, 8 Disember ini.

Kunjungan yang diatur penaja kelab Chelsea, Yokohama, itu akan memberikan peluang kepada peminat untuk bertemu dan mengambil bahagian dalam sesi ramah mesra bersama bintang berasal dari Ivory Coast itu.

""Saya sangat teruja untuk hadir bertemu peminat bola sepak di Selangor sebagai wakil Chelsea dan rakan penaja, Yokohama," kata Drogba dalam satu kenyataan media.

Drogba pernah mengecap gemilang bersama Chelsea sekitar 2004-2012 sebelum kembali ke pangkuan pasukan itu pada musim 2014-15.

Bersama Chelsea, dia meraih empat kejuaraan Liga Perdana Inggeris, empat kejuaraan Piala FA, empat kali muncul juara Piala Liga selain turut dinobat juara Liga Juara-Juara Eropah 2011-12.

Dalam tempoh itu, dia menjaringkan 164 gol buat Chelsea.

Sesi bertemu peminat itu akan diadakan di Sunway Pyramid Mall, bermula jam 12.30 tengah hari dan peminat yang hadir juga akan disajikan dengan beberapa acara sampingan seperti pertunjukan "freestyle football", dan berpeluang bertanyakan soalan kepada Drogba dalam sesi yang akan dikendalikan personaliti Astro Supersports, Amanda Chaang.