Mauricio Pellegrino berharap dana daripada penjualan Virgil van Dijk dapat membantu Southampton menguatkan barisan mereka apabila jendela perpindahan dibuka.

Van Dijk akan melengkapkan perpindahannya ke Liverpool pada 1 Januari selepas kedua-dua kelab bersetuju dengan nilai £75 juta (RM412) untuk pemain antarabangsa Belanda itu.

Yuran perpindahan besar -- rekod termahal untuk The Reds -- akan meningkatkan tabung Southampton dan Pellegrino bercadang untuk menggunakannya bagi memikat beberapa pemain ke Stadium St Mary.

"Tanpa Virgil (van Dijk), kami perlu memikirkan masa depan dan membawa masuk beberapa pemain bagi memperbaiki dan menguatkan skuad," katanya.

"Kami tidak tahu (sejauh mana sibuknya) kerana saya tidak dapat mengawal pasaran. Ia bergantung kepada kemungkinan yang kami ada.

"Ia tidak mudah untuk membawa masuk pemain penting pada bulan ini. Kami mempunyai peluang dan kami perlu bersedia," tambahnya.

Ketika ketiadaan Van Dijk, Southampton mengekalkan rekod bersih menentang Manchester United sejak Oktober dan Pellegrino gembira dengan keputusan 0-0 mereka di Old Trafford, awal pagi tadi.

"Kami sangat gembira kerana ia bukan sahaja penting mendapatkan satu mata, ia penting bagaimana kami bersaing di dalam padang dengan personaliti dan karakter," tambah Pellegrino.

"Manchester United tidak pernah selesa di padang dan ini adalah sesuatu yang baik untuk kami kerana selepas (tewas 5-2 di tangan) Tottenham, kami perlu melakukan sesuatu untuk berkembang.

"Saya rasa 11 pemain bertarung dan kami mempunyai beberapa peluang untuk menang. Ini adalah berita baik buat kami.

"Ia bagus untuk semua. Rekod bersih terakhir adalah menentang West Brom. Saya fikir penting untuk menjadi lebih kukuh dan ia memberi keyakinan kepada semua.

"Sekarang, kami perlu positif dan menggunakan prestasi ini untuk masa depan kerana kami mempunyai satu lagi perlawanan besar akan datang (menentang Crystal Palace) pada Rabu ini," katanya.