BOURNEMOUTH 1 SOUTHAMPTON 1

Pengendali Southampton, Mauricio Pellegrino, berpuas hati dengan prestasi skuad kendaliannya dalam babak kedua selepas berjaya meraih keputusan seri 1-1 dengan Bournemouth, semalam.


Di sebalik menguasai awal permainan, The Saints terpaksa bekerja keras ketika bertemu Bournemouth selepas ketinggalan ketika tamat separuh masa.

Kesilapan daripada Wesley Hoedt memberikan gol pendahuluan buat The Cherries, dengan Joshua King berjaya memintas bola daripada pertahanan sebelum Ryan Fraser meledak gol pertama dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak Januari lalu.

Southampton memberikan ancaman sejak permulaan separuh masa kedua dan Charlie Austin menyamakan kedudukan pada minit ke-61.

Penyerang itu berpeluang menambah jaringan ketika perlawanan berbaki 10 minit tetapi gagal untuk menguji Asmir Begovic daripada hantaran kemas Ryan Bertrand apabila tandukannya sekadar melewati palang gol.

"Saya berasakan ia adalah keputusan yang adil, perlawanan yang seimbang, dengan kedua-dua pasukan berusaha untuk menang," kata Pellegrino.

"Pada penghujung separuh masa pertama, mereka mempamerkan permainan yang lebih baik berbanding kami. Gol penyamaan oleh Austin cukup menggembirakan saya."