Pengurus West Ham United, Manuel Pellegrini, menafikan pasukannya sedang mempertimbangkan untuk membawa masuk Edin Dzeko, Januari depan.

Penyerang AS Roma itu bermain di bawah kendalian Pellegrini ketika di Manchester City dan minggu ini mendedahkan dia mungkin berminat untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris.

Dzeko menjaringkan 16 gol dalam saingan liga sewaktu City muncul juara bagi musim 2013/14 tetapi gagal mendapat tempat selepas itu dan berhijrah ke Roma pada 2015.

Bagaimanapun, Pellegrini berkata Dzeko tiada dalam perancangannya ketika sidang media, semalam.

"Kami tidak perlu bercakap tentang seorang pemain. Saya amat mengenalinya tetapi kami tidak berfikir tentang perkara itu ketika ini," ujar Pellegrini.

West Ham bakal melayani kunjungan Tottenham Hotspur dalam pertemuan setempat London esok dan pengendali itu menjangkakan Marko Arnautovic akan dapat mengetuai barisan depan.

"Dia dalam keadaan bagus," tambah Pellegrini.

"Dia hanya beraksi dalam satu perlawanan untuk Austria ketika aksi rehat antarabangsa.

"Arnautovic telah bekerja dengan pasukan tanpa sebarang masalah. Dia harus berhati-hati dengan lututnya."

Skuad kendalian Pellegrini itu dijangka berdepan tugas sukar untuk mengekang aksi kapten England, Harry Kane, di Stadium London.

"Kane adalah salah seorang pemain terbaik dalam Liga Perdana Inggeris, mungkin dunia. Spurs mempunyai skuad yang lengkap," ujar pengendali dari Chile itu.