Pemain Chelsea, Pedro, sanggup melepaskan segalanya untuk kembali ke Barcelona tatkala dia bakal memasuki tempoh enam bulan terakhir dalam kontraknya bersama The Blues.

Bekas pemain sayap Sepanyol, Pedro, dikaitkan dengan jalan keluar daripada Chelsea tatkala rayuan penggantungan perpindahan The Blues diterima dan mereka boleh mendapatkan pemain baru, bulan depan.

Musim ini, pemain berusia 32 tahun itu hanya melakukan 10 penampilan buat The Blues dan dia tampak tidak menyembunyikan hasrat untuk pulang ke Camp Nou.

Pedro diberikan penampilan senior pertama oleh Pep Guardiola, yang mengendalikannya bersama skuad simpanan, sebelum lima kali memenangi kejuaraan LaLiga dan tiga kali menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah.

"Jika Barca memanggil, saya akan lepaskan segalanya," katanya.

"Sewaktu kami menentang Barca dalam aksi pramusim, selepas bercakap dengan jurulatih, saya melihat peluang tetapi pintu pantas tertutup.

"Ketika ini, saya tidak tahu apa akan terjadi tetapi saya masih terikat dengan Chelsea sehingga penghujung musim ini."

Bercakap mengenai spekulasi dia bakal menyertai satu lagi kelab London, West Ham United, Pedro menambah: "Saya tidak tahu, lihat nanti... Apa yang saya tahu adalah mahu terus menikmati aksi bola sepak."


Editor: Nafis Abdullah