Pengendali Middlesborough, Aitor Karanka, berpuas hati dengan kutipan satu mata selepas melihat pasukannya berjaya mengekang kebangkitan West Ham di Stadium London.

Cristhian Stuani membuka tirai jaringan pada awal babak kedua dengan bantuan teknologi garisan gol yang menunjukkan bola telah melepasi garisan sebelum ditendang keluar oleh Mark Noble.

Bagaimanapun, jaringan pembukaan Stuani tidak bertahan lama apabila bintang West Ham, Dimitri Payet, meledak gol penyamaan menerusi gerakan solo.

Karanka mengakui kualiti yang ditampilkan The Hammers menjadi punca pasukannya gagal mengutip tiga mata penuh.

"Satu mata sudah memadai, apatah lagi selepas tewas tiga perlawanan sebelum ini.

"Sebelum perlawanan lagi, sudah saya katakan, West Ham mungkin sedang bergelut ketika ini, namun mereka memiliki barisan pemain bertaraf dunia. Jadi, saya sudah berpuas hati dengan satu mata ini.

"Kualiti mampu membawa perbezaan. Jika kami tewas sekalipun, keutamaan saya adalah untuk pemain beraksi dengan sikap positif.

"Memang sukar untuk mengekang Payet, dia memiliki kualiti yang mampu membawa perbezaan.

"Dibantu dengan sorakan penyokong tuan rumah di samping memiliki pemain bertaraf dunia, saya tahu West Ham mampu bangkit."