Paul Pogba: Manchester United berpotensi julang EPL 

Oleh Shaiful Shamsudin 16 Januari 2021 955
 Paul Pogba: Manchester United berpotensi julang EPL 
Paul Pogba berkata Manchester United mampu menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi menjangkakan perebutan gelaran yang sengit memandangkan peluang masih terbentang luas buat kebanyakan pasukan. 

The Red Devils akan bertandang ke Anfield, tengah malam Isnin ini, untuk menghadapi juara bertahan, Liverpool.

Kemenangan akan memastikan pasukan kendalian Ole Gunnar Solskjaer berkenaan menjarakkan diri daripada Liverpool di puncak EPL dengan enam mata selepas mencatat 11 perlawanan liga tanpa kalah dengan melakar sembilan kemenangan.


 


Peningkatan prestasi Pogba turut memainkan peranan sambil dia menyedari Liverpool akan menjadi ujian besar buat mereka, justeru mengingatkan rakan sepasukannya di Old Trafford bahawa mereka tetap berpeluang sambil menuntut tumpuan tinggi.

"Saya rasa kami boleh memenanginya sekiranya kami terus fokus tetapi ada banyak pasukan yang cuba memenanginya -- kami belum meraih apa-apa lagi, perjuangan kami masih jauh," katanya kepada Sky Sports mengenai potensi menjulang gelaran ke-21.

"Kami telah banyak berkembang, kami terus meningkat tetapi kami masih mempunyai pasukan yang sangat mentah.

"Kami belum boleh mengatakan bahawa kini kami setaraf Liverpool, iaitu menjuarai EPL dan berterusan mencipta kemenangan -- ketika itu barulah kami layak mengatakan bahawa kami sudah berada di tahap yang sama.

"Sekiranya anda mahu menjadi yang terbaik, anda harus mengalahkan yang terbaik. Kami mahu mengalahkan juara EPL.

"Kami tahu betapa bagusnya mereka beraksi dalam beberapa tahun terakhir ini -- kami tahu kualiti mereka dan bagaimana mereka beraksi. 

"Ia selalu mencetuskan pertembungan yang sukar. Kami tahu betapa sukarnya tetapi kami hanya perlu fokus dan berusaha untuk terus berada di puncak."

 

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen