Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, percaya Tottenham telah membuktikan betapa beliau tersilap kerana menggelar mereka sebagai "pasukan Harry Kane" musim lalu.

Guardiola melontarkan pandangan itu semasa menilai seteru terdekat mereka itu dengan merujuk Spurs sebagai pasukan yang bergantung kepada seorang pemain dengan terlalu mengharapkan mesin gol, Kane.

Bekas pengurus Barcelona itu kemudian menjelaskan bahawa beliau tidak bermaksud untuk tidak menghormati lawan.

Walaupun sudah menjaringkan lima gol Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk Spurs musim ini, Kane belum mencapai tahap yang pernah dilakukannya pada awal musim lalu yang menyaksikannya meledak lapan gol menjelang akhir Oktober.

Namun, Tottenham kekal cemerlang dalam pemburuan mahkota EPL apabila hanya dipisahkan dua mata dengan City selepas sembilan perlawanan.

"Mereka membuktikan betapa silapnya saya," kata Guardiola.

Pertembungan awal pagi esok akan berlangsung di Wembley berikutan kelewatan pembinaan stadium baru Tottenham di White Hart Lane.

Justeru, Guardiola percaya Spurs menderita kerana perlu mengharungi perlawanan di luar gelanggang keramat mereka sejak awal musim lalu sambil mengimbau kekalahan 0-2 di stadium tersebut pada awal ketibaannya di Manchester.

"Saya fikir White Hart Lane berbeza dengan Wembley. Tottenham akan berasa lebih selesa di laman sendiri," katanya. "Itu akan berlaku di mana-mana pun. Kami lebih selesa di Etihad berbanding jika kami perlu bermain di stadium lain.

"Dalam perlawanan itu, saya menyedari bahawa ini adalah EPL, Saya berasakan ... wau!

"Saya masih ingat pada masa itu, orang bercakap City akan memenangi Liga Perdana.

"Dalam perlawanan itu, saya menyedari (betapa sukarnya sesebuah perlawanan) sebaik saya melihat susuk fizikal mereka, betapa bagusnya mereka, sejauh mana mereka memberi tekanan ke atas pihak lawan selain perkara menarik yang mereka lakukan...

"Dan inilah perkara yang tidak terlintas dalam sesebuah pasukan dan tidak dianggap sebagai faktor untuk memenangi EPL. Saya menyesuaikan diri di England dengan keadaan seperti itu."

Begitupun, Guardiola gembira melabel Spurs sebagai pesaing utama dan sedar betapa pentingnya membawa pulang tiga mata dari Wembley.

"Apabila anda bermain menentang pesaing utama, ia seakan pemburuan enam mata," katanya. "Tiga mata yang anda menangi dan menggagalkan pihak lawan daripada meraih tiga mata.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku dalam sejarah EPL sedekad lalu tetapi seperti yang kita boleh dilihat, pasukan mantap mengutip banyak mata, mereka tidak tercicir banyak mata. Sebab itulah pertembungan dengan pencabar utama sangat penting.

"Tetapi, tiada apa yang akan berubah kerana hakikatnya, bertemu Southampton di tempat sendiri menawarkan mata yang sama seperti menentang Tottenham."