Alan Pardew telah dilantik sebagai pengurus baru West Brom dengan kontrak selama dua setengah tahun.

Skuad The Baggies memecat Tony Pulis pada awal bulan ini selepas pasukan itu hanya mengumpul 10 mata daripada 12 perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Selepas itu, Gary Megson masuk sebagai pengurus sementara dan membimbing pasukan ketika seri 1-1 dengan Tottenham, hujung minggu lalu, dan seri 2-2 menentang Newcastle United, awal pagi tadi.

Pardew muncul sebagai jurulatih pilihan untuk mengambil alih tugas di Hawthorns selepas menyatakan bahawa tugas itu adalah menarik, kelmarin.

Dan West Brom kini telah mengesahkan pelantikan itu, dengan Pardew menandatangani perjanjian sehingga 2020.

John Carver, yang bekerja dengan Pardew semasa berada di Newcastle, akan menyertai barisan kejurulatihannya, sementara Megson pula meninggalkan kelab itu.

"Saya teruja dengan peluang yang disediakan West Brom dan berharap dapat bekerjasama dengan kumpulan pemain yang saya anggap sebagai berbakat," kata Pardew kepada laman web rasmi West Brom.

"Cabaran sekarang adalah untuk mendapatkan keputusan yang kami perlukan bagi mendaki dalam liga. Tetapi saya sedar bahawa saya menyertai salah sebuah kelab hebat, yang sudah lama bertapak dalam EPL, dan ia keterujaan kami untuk pergi lebih jauh.

"Ini satu peluang yang menarik untuk memainkan peranan dalam mengejar cita-cita," ujarnya.

Pengerusi West Brom, John Williams, menambah: "Alan (Pardew) membawa pengalaman lebih daripada 300 perlawanan EPL dan mempunyai kepimpinan dinamik yang memberi manfaat kepada kelab.

"Kami kagum dengannya, apa yang ditawarkannya dan kami berharap dia membawa perubahan baru kepada kelab."

Pardew tidak membimbing mana-mana pasukan sejak dipecat Crystal Palace pada Disember tahun lalu.

Dia pernah bermain dan membimbing Pengarah Teknikal West Brom, Nick Hammond, ketika kedua-duanya berkhidmat di Reading.

Pengurus berusia 56 tahun itu turut pernah berkhidmat sebagai bos di Southampton, West Ham dan Newcastle.