Pangkalan latihan Tottenham dibuka semula

Oleh Shaiful Shamsudin 28 April 2020 88
Pangkalan latihan Tottenham dibuka semula
Pemain pasukan utama Tottenham kembali ke pangkalan latihan kelab itu hari ini dengan Liga Perdana Inggeris (EPL) dijangka akan kembali menyambung aksi. 

Arsenal turut membenarkan pemain mereka menggunakan pusat latihan The Gunners, London Colney, semalam untuk melakukan latihan solo di bawah garis panduan yang ketat di sebalik krisis wabak koronavirus baru (Covid-19). 

Spurs kini mengikut jejak langkah itu dengan skuad bimbingan Jose Mourinho tersebut dibenarkan melakukan sesi larian individu menerusi langkah "penggiliran ketat".



"Tidak lebih daripada seorang pemain diizinkan memasuki padang secara serentak bagi sesi latihan di padang dengan hanya sejumlah pemain sahaja dibenarkan hadir ke pusat latihan itu setiap hari," kata Tottenham dalam satu kenyataan.

"Setiap pemain hanya boleh datang berseorangan dan tiba di pangkalan itu dengan sudah memakai pakaian latihan dan terus pulang ke rumah sebaik menghabiskan sesi masing-masing. 

"Semua aktiviti itu dilakukan selaras dengan panduan kerajaan mengenai penjarakan sosial yang perlu dipatuhi setiap saat dan pemain tidak dibenarkan memasuki bangunan di sana."

Kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) ditangguhkan sejak 13 Mac lalu dan mereka mungkin semakin hampir untuk menyalakan semula aksi berikutan krisis pandemik itu semakin mereda di United Kingdom.

Setiausaha Digital, Budaya, Media dan Sukan, Oliver Dowden, semalam mengatakan bahawa kerajaan berhasrat untuk menyambung saingan itu "secepat mungkin", dengan syarat ia sesuai dengan garis panduan kesihatan.

"Saya secara peribadi telah mengadakan perbincangan dengan EPL bagi tujuan untuk mengaktifkan perlawanan bola sepak secepat mungkin dalam usaha memberi sokongan kepada seluruh komuniti bola sepak," kata Dowden di House of Commons.

Pemegang taruh EPL dijangka bersidang lagi Jumaat ini untuk membincangkan pilihan yang ada; sebelum ini mereka telah menyatakan keinginan untuk menghabiskan kempen 2019-20.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen