Roy Hodgson percaya penyokong The Eagles di Selhurst Park mampu membantu pasukannya melakar kejutan ke atas Arsenal.

Palace mengejutkan The Gunners dengan kemenangan 3-0, April lalu -- persembahan terbaik mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) -- dan berpeluang untuk melanjutkan rekod tanpa kalah kelab kepada sembilan perlawanan jika mengulangi persembahan tersebut.

Dikendalikan oleh Hodgson, yang mengambil alih pasukan ketika berada dalam zon penyingkiran selepas tewas tujuh perlawanan pertama mereka tanpa menjaringkan sebarang gol, dia menjangkakan lebih lagi daripada pasukannya dan percaya pemain-pemain mampu mencipta kemenangan jika penyokong terus berada di belakang mereka.

"Ia adalah kelebihan kami kerana memiliki penyokong tegar. Mereka menyedari kami menghadapi perlawanan yang sukar dan sokongan mereka mampu menjadi senjata buat kami.

"Saya telah menyaksikan perlawanan Arsenal sebelum ini, mereka adalah pasukan yang berkualiti. Kami menyedari asakan yang mampu diberikan oleh The Gunners dan kami akan mencari jalan untuk menangani mereka," katanya.

Selepas 19 perlawanan, Palace kini telah meraih kutipan mata tertinggi sejak empat musim beraksi dalam EPL.

Dengan permulaan musim yang teruk, Hodgson mengakui perubahan yang berlaku lebih pantas daripada jangkaannya.

“Saya agak terkejut. Kami berjaya mengubah nasib pasukan sebelum sambutan Krismas. Ia adalah sesuatu yang ganjil buat kami, terkeluar daripada zon penyingkiran.

“Kami mengetahui apa yang harus dilakukan dan kami akan terus mengutip mata dan mencari kemenangan," tambahnya.